THANABALAN (kanan) mahu bawa ayahnya di bangku penyokong pada perlawanan akhir berdepan Thailand di Stadium Shah Alam.
THANABALAN (kanan) mahu bawa ayahnya di bangku penyokong pada perlawanan akhir berdepan Thailand di Stadium Shah Alam.
Zulfaizan Mansor dan Aziman Rosdi


PESANAN dan sokongan seorang ayah menjadi pemangkin semangat buat penyerang skuad bola sepak negara N Thanabalan untuk beraksi cemerlang sepanjang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Lebih manis Thanabalan kini dianggap hero di bibir peminat bola sepak tempatan menjelaskan ayahnya, S Nadarajah, 56 akan berada di bangku penyokong pada perlawanan final berdepan Thailand di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Malah pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia akan cuba membawa Nadarajah turun ke padang sekiranya memenangi ibu segala pingat pada temasya dwitahunan terbabit.

“Saya selalu berhubung dengan ayah menerusi telefon termasuk selepas perlawanan separuh akhir berdepan Indonesia, semalam.

“Dia sangat gembira dan menasihatkan saya supaya beraksi dengan baik. Dia mahu saya dapatkan pingat emas buat negara.

“Kalau menang pingat emas, sudah pasti akan jadi sejarah yang sangat manis buat negara. Kata-katanya itu menaikkan lagi semangat saya untuk membantu Malaysia menewaskan Thailand,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Thanabalan menjadi perhatian dalam arena bola sepak tempatan kerana ketajamannya dalam melakukan penyudah sekali gus menjadi penjaring terbanyak Malaysia setakat ini dengan empat gol.

Selepas meledakkan gol kemenangan ketika Malaysia menewaskan Singapura 2-1 di peringkat kumpulan, Thanabalan sekali lagi muncul wira negara apabila jaringan tunggalnya ketika berdepan Indonesia, semalam, membawa skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ke pentas final.

Kebanggaan rakyat Malaysia terhadap Thanabalan yang kini dianggap sebagai ‘superstar’ terbukti apabila kehadirannya di sebuah restoran di Shah Alam, awal pagi tadi, mencetuskan kekecohan.

Penyerang skuad bawah 22 tahun negara itu datang ke restoran berkenaan untuk bertemu dengan keluarganya selepas tamat perlawanan separuh akhir dengan Indonesia.

“Saya terkejut bila masuk ke restoran ini, semua orang bersorak, rasa terharu pun ada. Saya datang nak bertemu dengan keluarga saya termasuk emak saya (Thiru Sundari) yang datang dari Seremban ke stadium.

“Saya masih muda, banyak lagi saya kena belajar. Saya kena berusaha lebih keras untuk lebih berjaya. Saya bersyukur dengan apa yang saya capai ketika ini tetapi saya tak anggap diri saya seperti ‘superstar’ namun saya hargai segala sokongan yang diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 6:10 PM