USS John S McCain pada 14 Jun 2017 di Lautan Pacific. FOTO AFP
USS John S McCain pada 14 Jun 2017 di Lautan Pacific. FOTO AFP
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEPULUH anak kapal hilang manakala lima lagi cedera selepas kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) bertembung dengan kapal tangki minyak di timur Singapura, hari ini.

Memetik laporan Reuters, Tentera Laut AS (USN) dalam satu kenyataan berkata, kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain mengalami kerosakan apabila bertembung dengan kapal Ainic MC ketika melakukan lawatan pelabuhan rutin di Singapura.

Katanya, ia kejadian kedua membabitkan kapal tempur USN di perairan Asia dalam masa dua bulan.

"Laporan awal menunjukkan John S McCain mengalami kerosakan di bahagian belakang kiri kapal," katanya.

Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan termasuk usaha Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, TLDM dan APMM mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 10 anak kapal yang hilang itu.

Sementara itu, menurut Channel News Asia, perlanggaran itu dilaporkan pada 6.24 pagi.

"Sebagai tambahan kepada bot tunda dari Singapura, kapal angkatan laut Republik Singapura Singapura RSS Gallant (97), helikopter RSN dan Basking Shark kapal pengawal polis (55) kini berada di lokasi kejadian untuk memberi bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 11:09 AM