RITA tempelak sikap segelintir pelakon baru tidak boleh ditegur.
RITA tempelak sikap segelintir pelakon baru tidak boleh ditegur.
HM Digital

Status sebagai pelakon senior bukan alasan Rita Rudaini menolak tawaran memegang watak utama walaupun menjadi pilihan kedua.

Terbaru, Rita dipilih menggantikan seorang pelakon wanita kontroversi dalam telefilem Akak Mekanik selepas pelakon itu menarik diri sehari sebelum penggambaran.

Rita, 41, berkata, dia menerima tawaran terbabit atas dasar profesional dalam bekerja selain ingin membantu syarikat produksi berkenaan.

“Pilihan kedua, ketiga atau berapa sekali pun bukan satu masalah bagi saya. Apa yang penting tawaran itu sesuai pada masa. Lagipun, dari dulu lagi saya amat memilih skrip selain melakukan satu kerja dalam satu masa.

“Tawaran berlakon ini tiba kena dengan jadual saya yang secara kebetulan tidak sibuk dengan sebarang komitmen. Tambahan pula, jalan ceritanya menarik. Jadi, saya tak ada alasan menolak, sekali gus membantu syarikat produksi daripada menanggung kerugian.

“Sekiranya penggambaran ditunda, ia menimbulkan masalah kepada seluruh pasukan produksi terutama membabitkan bayaran mereka. Kalau penggambaran lambat, bayaran juga lewat,” katanya.

Rita yang dikenali dengan watak air mata menganggap sikap pelakon yang suka menarik diri pada saat akhir ini sebagai biadab dan mementingkan diri sendiri.

Rita dalam nada tegas mengingatkan kepada mereka bekerja dalam industri ini semangat berpasukan amat penting.

“Sikap sebegitu sebenarnya menyusahkan banyak pihak terutama produksi dan stesen TV. Pelakon sebegini kebanyakannya hanya kejar populariti bukan sebab tanggungjawab. Ia sedikit sebanyak mencerminkan keperibadian individu itu.

“Apa saya boleh katakan, tindakan menarik diri atau membatalkan persetujuan pada saat akhir sangat biadab dan pentingkan diri,” katanya.

Terlanjur bercerita mengenai masalah itu, Rita juga menempelak sikap segelintir pelakon baru yang tidak boleh ditegur terutama membabitkan disiplin kerja mereka.

“Apabila sentuh artis baru ini banyak yang cepat sentap termasuk peminat mereka. Kita nasihat dari segi pengalaman yang ada. Cakap orang lama kena dengar juga. Orang kata jangan bodoh sombong, berlagak pandai dan bagus.

“Saya dulu pun ketika masih baru dalam bidang ini diakui tahap disiplin kurang bagus. Namun saya berubah kerana melihat pelakon senior masa itu sangat mementingkan disiplin kerja. Dari situ saya tak malu cedok ilmu selain belajar mencontohi mereka.

“Disebabkan masuk dalam bidang ini untuk cari rezeki dan cintakan seni, saya nekad menjaga disiplin dan semula jadi ia melekat dalam diri sehingga sekarang,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya lakonannya, ibu kepada dua anak ini terbabit dalam telefilem Bukan Cinta Biasa yang menjalani penggambaran di London dua minggu lalu.

Telefilem terbitan Zeel Production ini kali pertama menggandingkan Rita dengan hero yang jauh lebih muda daripadanya iaitu Hafidz Roshdi.

“Apabila dapat tahu hero sangat muda daripada saya, memang terkedu juga. Namun sebagai pelakon saya percaya jika ada keserasian semuanya nampak menarik. Lagipun, jalan ceritanya memang mengisahkan perhubungan antara wanita berusia dengan lelaki muda.

“Kalau nak tahu sebelum ini pun kebanyakan hero saya muda daripada saya. Antaranya Aqasha, Fahrin Ahmad, Syamsul Yusof dan Adi Putra, tetapi alhamdulillah keserasian kami buat semua tidak janggal.

“Berkenaan Hafidz, pada mulanya saya melihat dia takut dan segan. Jadi apabila babak bersama, saya bagi dia rasa selesa dan kalau boleh tak nak ada jurang antara senior dan junior di situ. Walaupun penggambaran membabitkan babak di Malaysia belum selesai, saya dapat rasa lakonannya. Pendek kata dia memberi lakonan ada jiwa,” katanya.

Selain itu, Rita juga bakal terbabit dalam drama bersiri 50 episod berjudul Cinta Seputih Rembulan terbitan Global Station.

“Selepas berkahwin dan memiliki anak, agak lama saya tak terbabit dengan episod panjang. Alhamdulillah tawaran ini satu rezeki tambahan lagipun sudah lama tidak berlakon bawah produksi Global Station.

“Bagi drama 50 episod ini saya terbabit dalam 25 episod. Selepas itu saya mendapat tawaran drama bersiri panjang juga. Prinsip kerja saya mudah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

“Saya selalu berdoa setiap apa yang saya nak lakukan dipermudahkan. Saya sentiasa cuba sebaik mungkin untuk membahagikan masa antara kerja dan keluarga,” katanya. -Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 4:01 AM