Nur Anis Zamelia sebak melihat baju raya neneknya, Che Lebar Ahmad yang meninggal dunia ketika membeli-belah di Pasar Sehari, Simpang Empat, Kangar. FOTO Azhar Ramli
Nur Anis Zamelia sebak melihat baju raya neneknya, Che Lebar Ahmad yang meninggal dunia ketika membeli-belah di Pasar Sehari, Simpang Empat, Kangar. FOTO Azhar Ramli
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KEGEMBIRAAN warga emas membeli baju kurung bersama cucu perempuan sempena Aidilfitri bertukar pilu apabila dia meninggal dunia di pasar sehari Simpang Empat, Kangar, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa, Che Lebar Ahmad, 75, ke pasar sehari pada 8.30 pagi dihantar oleh anak sulungnya, Amim Bahari, 50, dari rumah mereka di Sanglang.

Amim berkata, ibunya sempat menghubunginya pada 10.15 pagi meminta menjemputnya pulang dan dia menunggu di kedai anak angkatnya yang menjual ikan segar di pasar itu kerana sudah selesai membeli barangan.

Menurutnya, sebaik tiba, seorang rakan yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memberitahu ibunya kepenatan dan sedang dirawat pembantu perubatan dari klinik berhampiran.

"Saya bergegas ke kedai terbabit sebelum mendapati dua pegawai perubatan sedang berusaha menyelamatkan emak.

"Menurut anak angkat emak, sebelum itu, emak ada meminta kebenaran tumpang duduk sebentar sementara menanti saya sampai kerana terlalu penat membeli barangan termasuk baju rayanya," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Sanglang, hari ini.

Sementara itu, cucunya, Nur Anis Zamilia Amim, 25, berkata, arwah neneknya sempat bergurau dengannya bersama adik lelaki pada malam sebelum kejadian dengan menjamah pulut mempelam ketika berbuka puasa.

"Tok berselera sekali ketika menjamah pulut mempelam harumanis ketika berbuka puasa malam kelmarin.

"Malah kami sempat bergurau sebelum berbuka bahawa adik ingin menghadiahkan harumanis kepadanya tanpa pengetahuan saya," katanya.

Nur Anis berkata, arwah turut membeli baju raya buatnya malah sebelum itu neneknya sering mengingatkannya beraya bersama ke rumah sanak saudara pada Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 6:39 PM