PEMAIN import JDT, Bergson Da Silva meledak rembatan yang cuba dihalang pemain Selangor FC. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN import JDT, Bergson Da Silva meledak rembatan yang cuba dihalang pemain Selangor FC. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Keputusan seri 1-1 dan hanya satu mata jelas tidak memuaskan hati pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora selepas berdepan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Bagaimanapun, pengendali dari Mexico itu berpuas hati dengan kerja keras barisan pemain Harimau Selatan yang memiliki sikap melawan dan tidak pernah kenal erti putus asa untuk cuba meraih kemenangan.

Katanya, kesebelasan pemain JDT yang diturunkan pada aksi menentang skuad kendalian Karsten Neitzel tidak terperangkap dengan helah permainan pasukan lawan sebaliknya memberi tekanan terutama pada babak kedua.

"Aksi pada 20 hingga 30 minit babak pertama agak sukar bagi kami kerana pemain Selangor FC beraksi dengan permainan pantas dan kerap memberi tekanan di posisi tengah dan pertahanan. Malah intensiti permainan lawan juga pantas sambil mereka kerap bertukar posisi.

"Tidak semua pasukan beraksi sebegitu apabila menentang JDT, namun kami tahu akan berdepan situasi sedemikian tapi akan sukar untuk menyekat pergerakan pantas barisan pemain Selangor FC yang ambil kesempatan menjaringkan gol pada minit ketujuh.

"Gol itu beri lebih keyakinan kepada pemain lawan dan memberi tekanan terhadap pemain JDT dan pemain saya cuba menguasai permainan tapi rasa kecewa mula menghantui pemain pada minit ke-42 selepas Gonzalo (Cabrera) gagal menyempurnakan sepakan penalti," katanya.

Bagaimanapun, pada aksi babak kedua Mora menegaskan keseluruhan permainan dikuasai pemainnya yang memaksa benteng Selangor FC bekerja keras mengekang asakan yang bermula di posisi sayap kiri dan kanan serta posisi tengah.

Ditanya mengenai persembahan Cabrera yang agak tenggelam dalam perlawanan itu, Mora menegaskan pemain itu sudah memberi yang terbaik namun kecederaan dialami di bahagian paha menyebabkan gerakannya agak terbatas.

"Bergson (Da Silva) juga belum berada di tahap kecergasan 100 peratus tapi dia tetap mahu beraksi dan saya puji semangat dia. Beri dia tempoh sedikit lagi dan pasti akan bangkit dengan persembahan lebih mantap untuk aksi seterusnya.

"Apapun, saya berpuas hati dengan corak permainan Arif Aiman (Mohd Hanafi), biarpun berusia 18 tahun tapi tidak kekok untuk bersaing dan sering memporak perandakan benteng Selangor FC. Malah usaha dia yang beri dua penalti," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 12:57 PM