AWANG bersama Risom dan Linda menaiki bot merentasi Tasik Chini untuk pergi mengundi. FOTO Bernama
AWANG bersama Risom dan Linda menaiki bot merentasi Tasik Chini untuk pergi mengundi. FOTO Bernama
BERNAMA

MESKIPUN tinggal jauh di pedalaman, masyarakat Orang Asli di kawasan Tasik Chini, tidak menjadikan itu sebagai halangan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini.

Antaranya Awang Kasim, 65, yang seawal 7 pagi bersama isterinya Risom Entet, 64, dan anak bongsunya Linda Awang, 25, sudah keluar dari rumah di Kampung Cenahan, sebuah perkampungan Orang Asli melibatkan tujuh keluarga di Tasik Chini.

Mereka keluar awal dari rumah kerana perlu meredah tasik selama 15 minit menggunakan bot sendiri untuk ke jeti terdekat di Kampung Gumum sebelum menaiki kenderaan sejauh 15km ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Khincir di Sungai Duri dekat sini.

"Sebab itu kami kena keluar rumah awal supaya tidak sampai lewat. Kalau lewat nanti lagi lama pula kena beratur. Ini pun saya beratur lebih setengah jam sebelum boleh mengundi," katanya kepada Bernama selepas selesai mengundi.

Ujar bapa kepada tujuh anak itu, beliau lebih selesa menggunakan jalan air walaupun terdapat jalan darat kerana ia agak jauh dan perlu meredah jalan ladang kelapa sawit yang teruk.

MEREKA meredah Tasik Chini selama 15 minit menggunakan bot sendiri untuk ke jeti terdekat di Kampung Gumum. FOTO Bernama
MEREKA meredah Tasik Chini selama 15 minit menggunakan bot sendiri untuk ke jeti terdekat di Kampung Gumum. FOTO Bernama

"Anak-anak saya yang lain lebih gemar melalui jalan darat walaupun perlu meredah dekat sejam perjalanan. Saya dah tidak larat, lebih baik naik bot sendiri dan tunggu orang membawa ke pusat mengundi," kata pengendali bot pelancong Tasik Chini itu.

Sementara itu, Risom berkata tanggungjawab sebagai pengundi harus dilaksanakan bagi memilih wakil rakyat yang boleh menjaga kebajikan mereka.

Ini merupakan kali keempat dia mengundi dan mengakui terdapat perbezaan mengundi dahulu dan sekarang iaitu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Dulu perlu celup jari (dakwat SPR). Sekarang tadah saja tangan dan mereka yang calitkan dakwat di tangan, pakai sarung tangan dan lepas itu barulah pilih siapa (pemimpin) yang kita mahu," katanya.

Terdapat dua perkampungan Orang Asli di sekitar Tasik Chini iaitu Kampung Cenahan dan Tanjung Kuput membabitkan keseluruhan 18 keluarga dengan 32 pengundi berdaftar yang mengundi di SK Khincir.

Selepas tiba di jeti, mereka perlu menaiki kenderaan sejauh 15 kilometer ke pusat mengundi di SK Khincir. FOTO Bernama
Selepas tiba di jeti, mereka perlu menaiki kenderaan sejauh 15 kilometer ke pusat mengundi di SK Khincir. FOTO Bernama

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain dan dua calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar, termasuk 18 pemilih awal dalam DUN Chini. Daripada jumlah itu, 1,900 atau 22 peratus adalah pengundi kalangan masyarakat Orang Asli.

RAKYAT Chini akan mengundi bagi memilih calon wakil rakyat yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. FOTO Bernama

  • Lagi foto Spektrum
  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 3:23 PM