Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KEMPEN #LangkahKebaikan65 dilancarkan untuk mengumpulkan 10 juta langkah dan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup lebih sihat serta menjadi masyarakat aktif.

Pelancaran ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65 atas inisiatif Jacob's Malaysia.

Kempen yang berlangsung bermula 31 Julai hingga 30 September ini adalah kesinambungan kepada kempen terdahulu iaitu 'Gerakan Kebaikan 64' pada 2021 dan meneruskan usaha mengungguli aktiviti serta gerakan fizikal.

Pengarah Pemasaran, Malaysia, Singapura dan Ekspot AMEA Mondelez International Arpan Sur berkata, inisiatif kempen tercetus apabila statistik menunjukkan Malaysia mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara.

Menurutnya, antara faktor penyumbang ialah kemudahan yang berpunca daripada digitalisasi yang menjadikan segalanya tersedia di hujung jari.

"Ini mengakibatkan ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sedentari (kurang aktif).

"Apabila faktor ini digabungkan dengan tindakan kurang melakukan aktiviti fizikal dan pemilihan makanan kurang sihat, ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan seperti kencing manis, obesiti dan sakit jantung," katanya.

Menurutnya, kempen itu adalah peralihan ke arah pembinaan negara yang lebih sihat dan mampu memupuk kesejahteraan secara menyeluruh.

"Melalui kempen ini, kami berhasrat dapat mencapai matlamat 10 juta langkah. Namun, yang lebih penting dalam jangka panjang adalah untuk memberi impak sementara dan berkekalan terhadap gaya hidup masyarakat di negara ini.

"Kami mahu masyarakat lebih mengambil berat terhadap kesejahteraan diri dan menjadi lebih aktif daripada segi fizikal," katanya.

Katanya, dana RM25,000 akan disalurkan kepada Persatuan Pemakanan Malaysia apabila sasaran 10 juta langkah tercapai.

"Dana ini akan digunakan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap cara pemakanan yang sihat serta manfaat untuk mengamalkan gaya hidup aktif.

"Hadiah lumayan berjumlah RM50,000, termasuk 10 hadiah utama untuk peserta yang mencapai jumlah langkah tertinggi dan 90 hadiah cabutan bertuah (10 hadiah setiap minggu), terbuka kepada semua peserta yang mencapai sekurang-kurangnya 15,000 langkah setiap minggu.

"Hadiah ditawarkan termasuk pakej alat sukan bernilai RM3,000, Apple Watch S7, Fitbit Sense, satu set lengkap Nintendo Switch Ring Fit, AirPods Pro, baucar sukan bernilai RM1,000 dan kad hadiah Sports Direct bernilai RM350," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 6:30 AM