PANORAMA sekitar tapak perkhemahan.
PANORAMA sekitar tapak perkhemahan.
Nurul Husna Mahmud


PERKHEMAHAN bukan konsep percutian yang asing dalam kalangan ibu bapa termasuk di Malaysia.

Malah, kebelakangan ini, ramai ibu bapa memilih membawa anak berkhemah di destinasi hutan atau pantai bagi memberi kelainan kepada pengalaman percutian mereka.

Tidak terkecuali, Roslina Mohd Rasip, 35, apabila memilih percutian ke pusat perkhemahan Intan Puteri Eco Farm yang terletak di Batang Kali, Selangor.

Kata Roslina, dia dan suami yang menetap di Setia Alam, Selangor biasanya berkhemah sekurang-kurangnya sebulan sekali bersama dua anak mereka.

"Saya dan suami mulakan aktiviti perkhemahan sebagai konsep percutian keluarga sejak penghujung 2022.

"Biasanya kami berkhemah ketika musim cuti sekolah atau cuti umum. Kalau tidak pun pada Sabtu dan Ahad yang mana kami ada kelapangan.

"Berkhemah ini pada saya mendekatkan kami sekeluarga kepada alam semula jadi dan memberikan ruang menikmati ketenangan," katanya.

Dari segi pemilihan, dia dan suami terbuka untuk mencuba setiap lokasi perkhemahan yang ada terutama sekitar Batang Kali.

"Kelebihan lokasi perkhemahan kali ini ialah kedudukannya tidak terlalu jauh dari ibu kota. Tempoh perjalanan diambil untuk sampai hanya satu jam 20 minit.

KHEMAH yang dipasang lengkap Roslina dan suami.
KHEMAH yang dipasang lengkap Roslina dan suami.

"Batang Kali antara 'port' perkhemahan popular dalam kalangan peminat aktiviti terbabit. Malah, banyak tapak perkhemahan diusahakan operator tempatan.

"Kami juga sukakan destinasi tapak perkhemahan sekitar Batang Kali yang mesra kanak-kanak, suasana hutan masih menghijau dan air sungai yang jernih.

"Sebelum Intan Puteri Eco Farm, kami pernah bermalam atau berkhemah di tapak perkhemahan lain antaranya, Tupai Emas dan Teratak Tok Alang," katanya.

Roslina berkata, faktor paras sungai yang cetek selamat untuk kedua-dua anaknya, Syahmina Yusrah Syazuwan, 9, dan Yakir Amsyar, 7, bermain air antara keutamaan.

"Secara peribadi, tapak perkhemahan yang pernah kami kunjungi di kawasan Batang Kali termasuk di Intan Eco Farm, semua sungai selamat untuk kanak-kanak.

PERALATAN dibawa Roslina.
PERALATAN dibawa Roslina.

"Bagaimanapun, sebagai ibu bapa kita perlu mengawasi anak-anak ketika mandi di sungai," katanya.

Berkongsi persiapan dilakukan, Roslina berkata, biasanya mereka membawa peralatan mengikut keperluan lokasi perkhemahan.

"Walaupun saya suka mendekorasi khemah bagaikan menata hias rumah, tapi saya hanya membawa peralatan digunakan.

"Tapak perkhemahan yang menjadi pilihan mesti mempunyai kemudahan seperti tandas, sumber air bersih, sinki dan sumber tenaga elektrik.

"Saya juga semak dan meneliti tahap keselamatan kawasan itu berdasarkan perkongsian atau maklum balas pengunjung terdahulu bagi menghindari musibah ketika melakukan aktiviti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 6:30 AM