GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Islam adalah agama yang mengatur segala aspek kehidupan manusia, mewajibkan umatnya memelihara kesucian dalam segala aspek kehidupan. Kewajipan ini bukan sekadar amalan ritual, tetapi merangkumi tindakan, sikap dan keputusan dalam kehidupan seharian.

Dalam Islam, kesucian bermula dari hal dan urusan peribadi setiap individu. Setiap Muslim dituntut menjaga kesucian jasmani dan rohani. Ini termasuk menjaga kebersihan diri, mengekalkan pemakaian yang sopan dan menjauhi perkara merosakkan kesucian seperti pergaulan bebas.

Perkara utama ialah berkaitan dengan hal ehwal keluarga yang juga unit asas dalam masyarakat Islam. Oleh itu, kewajipan memelihara kesucian juga melibatkan hubungan dalam keluarga. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Kesucian tidak hanya berkisar pada individu dan keluarga, tetapi juga diperluas kepada masyarakat secara keseluruhan. Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kesucian masyarakat dengan tidak menyebarkan fitnah, menjaga keamanan dan keharmonian serta menyokong keadilan dan kesejahteraan bersama. Seluruh umat Islam berkewajipan menjaga kesucian dan kehormatan agama Islam daripada perkara yang boleh mencemarkan kemurniannya.

Antara asas paling penting ialah menyedari matlamat sebenar penciptaan manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah al-Zariyat, ayat 56) Sebagai sebahagian kewajipan memelihara kesucian, setiap Muslim perlu memelihara hubungan yang kukuh dengan Allah. Ini melibatkan ibadah yang ikhlas, taat kepada perintah Allah, menjauhi larangan-Nya serta memperbaiki hubungan spiritual melalui solat, puasa dan amalan lain yang mendekatkan diri kepada-Nya.

Dalam Islam, memelihara kesucian bukan sekadar satu amalan, tetapi amalan hidup yang mencerminkan nilai dan ajaran agama. Dengan memelihara kesucian peribadi, keluarga, masyarakat dan hubungan dengan Allah umat Islam dapat menjalani kehidupan yang harmoni dan bermakna serta memberi sumbangan yang positif kepada masyarakat dan dunia. Dengan demikian kewajipan memelihara kesucian dalam Islam bukan suatu yang dapat diambil mudah, tetapi satu tanggungjawab yang mendalam dan memberi impak besar terhadap kehidupan individu dan masyarakat.

Sebagai suatu penjagaan terhadap kesucian Islam, menghina kesucian Islam adalah tindakan yang sangat dilarang dan dianggap amat serius. Apatah lagi apabila berlaku pada bulan Ramadan yang mulia. Setelah beberapa kali berlaku peristiwa membakar dan menghina Allah sebelum ini, terkini timbul pula isu menghina Nama Allah yang ditulis pada stoking. Ini jelas satu penghinaan. Perkara seperti ini tidak wajar berlaku dalam masyarakat Malaysia yang sekian lama mengamalkan kebebasan beragama di samping Islam sebagai agama rasmi.

Islam sangat memandang berat isu penghinaan seperti ini. Al-Quran dengan jelas menyatakan keagungan agama Islam dan larangan untuk menghina kepercayaan orang lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan." (Surah al-An'am, ayat 108)

Ayat ini menekankan bahawa menghina agama lain boleh menyebabkan mereka membalas dengan menghina Islam. Ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga hubungan yang baik dan menghormati kepercayaan agama lain. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya termasuk sebesar-besar dosa besar adalah seseorang melaknat kedua orang tuanya. Ditanyakan: 'Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang melaknat kedua orang tuanya?' Baginda bersabda: 'Seorang lelaki mencaci bapa orang lain, lalu orang itu mencaci pula bapanya, dan dia mencaci ibunya, lalu orang itu mencaci pula ibunya." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad) Rasulullah mengajarkan kita berhati-hati dalam perkataan dan tindakan agar tidak menyinggung perasaan atau kepercayaan orang lain. Seterusnya mengakibatkan orang lain menghina Islam.

Manakala, para ulama Islam secara konsisten menekankan perlunya menjaga kesucian agama dan menghindari tindakan yang menjejaskan kehormatan umat Islam. Dalam Tafsir al-Qurtubi dinyatakan: "Orang-orang kafir pernah berkata kepada Abu Talib (bapa saudara Rasulullah SAW): Laranglah Muhammad dan sahabatnya daripada memaki dan menghina sembahan kami, atau kami akan membalas balik dengan cara mencaci dan menghina Tuhannya." (Tafsir Qurtubi)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 7:00 AM