FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Penulisan kali ini mungkin agak berbeza dan santainya, cerita kedai kopi mengenai Mat Bebal dan Joyah Bengap. Meskipun dalam dunia moden masa kini dua nama individu seperti itu sudah tidak digunakan lagi.

Mengapa penulis mengulas mengenai pasangan ini dan mengapa masih ada lagi yang kebodohan nyata seperti bebal dan bengap?

Ia bukanlah tingkah laku begitu baik, tidak kiralah sama ada ia lahir secara semula jadi atau dibuat-buat oleh pelakunya. Jika ia semula jadi, pasti memakan masa untuk memperbaikinya dan jika ia dibuat-buat, sememangnya kita kena banyak bersabar untuk melayan kerenahnya dan berusaha mengubahnya kepada yang asal atau semula jadi.

Alkisah satu cerita di sebuah organisasi jabatan kerajaan, Mat Bebal dijemput makan bersama rakan sekerja sempena majlis persaraan bos mereka bernama DS Wahab.

"Mat kamu mahu makan apa?" tanya seorang kawan saya kepadanya apabila melihat dia masih buntu mencari apa yang hendak dimakan di dalam hidangan yang telah disediakan.

"Saya tak mahu makan karipap," balas Mat Bebal. "Yalah kamu mahu makan apa, saya nak tolong ambilkan," jawab rakan itu.

Mat Bebal macam marah dan berkata: "Kan saya dah cakap, saya tak mahu makan karipap."

"Habis kamu nak makan apa," soal rakan saya makin keliru.

Balas Mat Bebal: "Saya mahu DS Wahab jadi bos kita."

Makin keliru dan malas melayan kerenahnya, saya dan rakan berlalu pergi. Makin dilayan, silap-silap penulis turut menjadi bebal sepanjang hayat.

Bukan Mat Bebal sahaja yang boleh membuatkan penulis sakit jiwa, malah perangai Joyah Bengap pun sama ketika penulis meminta dia menyediakan satu powerpoint dan slide untuk mesyuarat akan datang.

Selang dua jam, dia hantar satu video berdurasi lima minit daripada aplikasi TikTok dengan lagu Black Pink mengenai taklimat mesyuarat itu.

Bila difikirkan, boleh sakit kepala dibuatnya, tetapi apa kan daya, dah namanya bebal dan bengap tidak boleh kata apa lagi, hanya melayan sahaja dengan hati tenang dan reda.

Bukan kita marah atau tidak suka Mat Bebal dan Joyah Bengap, persoalannya ialah mungkin itu sifat semula jadi mereka menyebabkan perkara itu terjadi, tetapi sikap dan tingkah laku boleh diubah bagi membentuk satu norma tatasusila.

Yang bagusnya jika kita sendiri mahu belajar dan berusaha mengubahnya, tetapi jika kita masih reda terjadinya sedemikian dan tidak mahu berusaha mengubah dan mengabaikan teguran, maka kita akan terus bebal dan bengap.

Kita sebagai warga negara yang bertanggungjawab wajib menghormati hak individu atau hak kelompok atau hak persatuan untuk menjadi bebal dan bengap.

Kedua-duanya adalah hak asasi. Sekali lagi penulis katakan menjadi sifat kedua-dua itu adalah hak asasi seseorang.

Jangan ganggu dan jangan gugat jika ternampak Mat Bebal dan Joyah Bengap sedang beraksi atau berada di kelompok kita. Harus diingatkan tatakelakuan itu bukan satu penyakit berjangkit.

Justeru, kita tidak perlu risau jika seseorang itu bebal dan bengap dan sedang melakukan perkara bodoh, yakinlah ia tidak berjangkit kerana perbuatan itu tidak membawa virus.

Cuba kita bayangkan andainya bebal dan bengap terjadi dalam kelompok tempat kita bekerja, ia tidak akan berjangkit dengan pejabat bersebelahan dengan kita atau mana-mana kelompok, tetapi tidak mustahil kita sendiri akan menjadi sedikit lembab apabila melayan kebodohan mereka kerana sudah bertahun melayan kerenah mereka di tempat kerja. Sebenarnya, tidak ada manusia bebal dan bengap, yang ada hanya manusia malas dan tidak mahu belajar. Semua punya potensi membina kejayaan jika ada kemahuan. Persoalannya, jika kita berfikir bahawa kita bebal dan bengap, apakah kita benar-benar akan menjadi sedemikian?

Persoalan seperti mengapa saya tetap bodoh meskipun sudah belajar? Daripada dirinya sendiri juga yang salah, mungkin pembelajaran tidak sempurna atau keluar dari landasan atau belajar perkara lain, tetapi belajar menu lain.

Sedikit cara perlu kita buat seandainya tergolong dalam individu bebal dan bengap:

l

Kenali keupayaaan diri dan tahap kita. Kita kena berlari seiring dengan masa dan kemajuan yang ada, mahu tidak mahu kita kena belajar juga waimah pelajaran yang baru atau kita tidak minat langsung.

Belek dan baca serta amalkan setiap hari. Ada pepatah, belakang parang jika diasah akan tajam juga. Begitulah diri kita, andai kita berusaha kejayaan akan datang juga.

l

Spesifik atau kecilkan apakah masalah kita sebenarnya. Cari punca bebal atau bengapnya kita berbanding orang lain. Motivasikan diri jika orang lain boleh buat, mengapa saya tidak boleh buat?

Dalam proses mengecilkan skop mencari kelemahan kita, bacalah buku mengenainya dan cari jalan penyelesaian orang terdahulu sehingga dia berjaya.

l

Jika kita malas untuk membaca buku dan mencari jalan penyelesaian terhadap kebengapan kita, carilah guru yang boleh mengajar kita mengenai kelemahan kita.

Sebagai contoh, kita sangat bebal atau bengap untuk membuat satu kertas kerja, cuba meniru atau belajar daripada individu atau rakan kita yang pandai atau minta dia mengajar kita bagaimana untuk menyiapkannya. Sudah semestinya lama-kelamaan kita akan menjadi biasa dan mahir untuk melakukannya.

l

Bergaullah dengan rakan yang berjaya dan jangan malu untuk menyatakan kita bebal dan bengap dalam sesuatu perkara. Dengan cara dan pergaulan itu, kita menimba pengalaman mereka dan jangan malu bertanya.

Tetapi, jika individu itu tidak mahu diajar dan meneruskan kelakuan bebal dan bengapnya serta menganggap sudah sifat semula jadi dirinya, kita hanya reda dan berdoa semoga mereka kembali sempurna dan berubah.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 7:00 AM