TAK perlu berteori siapa pencetus gempa di Turkiye dan Syria, cukuplah kita berpegang kepada hakikat setiap yang berlaku adalah dengan izin-Nya.
TAK perlu berteori siapa pencetus gempa di Turkiye dan Syria, cukuplah kita berpegang kepada hakikat setiap yang berlaku adalah dengan izin-Nya.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Sebelum reda kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria yang meragut lebih 40,000 nyawa, dunia sekali lagi dikejutkan dengan gempa bumi kuat di Tajikistan berkekuatan 7.2 magnitud dengan kesannya dirasai hingga ke wilayah Xinjiang, China.

Di saat mangsa masih dilanda kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga dan harta benda, terdapat pihak yang menambah sengsara mangsa dengan menyebarkan teori bahawa kejadian gempa bumi adalah hasil rekaan teknologi.

Lebih menyedihkan apabila segelintir rakyat Malaysia juga mempercayai teori berkenaan.

AFP melaporkan teori konspirasi mengenai Program Penyelidikan Auroral Aktif Frekuensi Tinggi (HAARP), muncul semula dengan pengguna media sosial menyalahkannya untuk gempa bumi Turkiye-Syria.

Saintis telah bertahun-tahun menyangkal dakwaan bahawa kemudahan di Alaska yang mempunyai 180 antena radio adalah program yang disokong kerajaan Amerika Syarikat untuk mengawal penduduk dunia.

Siri gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria menimbulkan varian baharu teori itu di media sosial dalam pelbagai bahasa. Bagaimanapun, ia telah ditolak oleh pakar sebagai fiksyen sains.

Sesetengah pengguna memetik kilat yang dirakam sebelum gempa bumi di Turkiye sebagai bukti bahawa ia dijana secara buatan oleh HAARP.

Menurut dakwaan yang tersebar luas di media sosial, kilat tidak berlaku sebelum gempa bumi dan ia terjadi dalam operasi HAARP.

Ada yang mendakwa ia adalah untuk menghukum Turkiye kerana menentang kemasukan negara anggota baharu ke NATO.

David Keith, profesor fizik gunaan di Harvard School of Engineering and Applied Sciences berkata, gempa bumi berpunca daripada HAARP adalah dakwaan gila.

Katanya, ia umpama bertanya sama ada gempa bumi disebabkan oleh Bugs Bunny yang menggali lobak merah.

Menurutnya, HAARP menghantar gelombang radio untuk memanaskan elektron dalam ionosfera, lapisan atas atmosfera Bumi untuk mengkaji kesannya terhadap sistem komunikasi. Gelombangnya tidak cukup besar untuk sampai ke Turkiye kerana gempa bumi disebabkan oleh pergerakan kerak bumi. Pakar memberitahu AFP, kilat biasanya dilihat semasa gempa bumi di mana dalam sesetengah kes, ia datang dari talian elektrik atau stesen elektrik yang digegarkan oleh gempa bumi. HAARP dikendalikan oleh Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika Syarikat sebelum diserahkan pada 2015 kepada Universiti Alaska Fairbanks.

Pemancar HAARP menghantar gelombang radio dari 80 kilometer ke lebih 500 kilometer di atas permukaan Bumi - terlalu tinggi untuk isyarat sedemikian menjejaskan cuaca atau iklim.

Ella Gilbert, ahli meteorologi di British Antarctic Survey berkata, idea bahawa teknologi boleh membawa peristiwa ekstrem seperti gempa bumi adalah tidak masuk akal.

Katanya, secara teknikal amat sukar untuk mempengaruhi sistem yang besar, kompleks dan huru-hara seperti cuaca.

Menurut laporan Reuters, HAARP tidak mempunyai keupayaan pengubahsuaian cuaca yang menyebabkan gempa bumi, bertentangan dengan dakwaan yang tersebar di media sosial.

Jessica Matthews, pengurus program HAARP di Universiti Alaska Fairbanks, memberitahu Reuters bahawa peralatan penyelidikan di tapak HAARP tidak boleh mencipta atau menguatkan bencana alam.

Turkiye menyerlahkan kemusnahan yang hanya boleh disebabkan oleh bencana alam.

Menurut David Hysell, seorang profesor kejuruteraan di Thomas R Briggs di Universiti Cornell, HAARP ialah pemancar radio yang lebih besar daripada kebanyakan pemancar radio lain, dan secara teorinya tidak mungkin HAARP boleh menghasilkan gempa bumi.

Seorang profesor penyelidik bersekutu kejuruteraan elektrik dan komputer di Universiti Boston, Toshi Nishimura berkata, beliau tidak mengetahui sebarang bukti saintifik bahawa gelombang buatan boleh mencipta gangguan yang lebih kuat dan memberi kesan kepada keadaan seismik tempatan.

Menurutnya, pada masa ini tiada teknologi untuk melancarkan gelombang radio dari tanah dan menyasarkan bandar tertentu dengan tepat.

Malah, katanya tidak mungkin gelombang radio boleh memberi kesan kepada keadaan seismik yang jauh. Sebagai individu yang tidak terbabit secara langsung dengan kejadian gempa ini, sebaik-baiknya kita mendoakan kesejahteraan mangsa dan anggota penyelamat yang menjalankan tugas.

Berhentilah berteori yang bukan-bukan. Allah Maha Berkuasa dan sebagai seorang Muslim cukuplah kita berpegang bahawa setiap yang berlaku adalah atas izin-Nya.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 5:59 AM