Syarifah Dayana Syed Bakri

DALAM minggu ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan bahawa penularan cacar monyet diisytihar sebagai darurat kesihatan global iaitu amaran tahap tertinggi.

Ini kerana ia diyakini berpotensi mencetuskan, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Berdasarkan penilaian WHO, risiko cacar monyet adalah sederhana di seluruh dunia dan di semua rantau kecuali di rantau Eropah yang mana ia dilihat sebagai berisiko tinggi.

Menurut data Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), cacar monyet sudah menjangkiti lebih 17,000 orang di lebih 74 negara.

Keseluruhan 98 peratus pesakit dijangkiti wabak itu adalah lelaki gay dan biseksual manakala satu pertiga dikenal pasti sebagai individu mengamalkan seks bebas.

Tedros sebelum ini menyatakan kebimbangan bahawa stigma boleh menjadikan wabak itu lebih sukar untuk dikesan.

Bagaimanapun, wabak itu yang tertumpu dalam kalangan lelaki berhubungan dengan golongan sejenis dan mereka banyak pasangan seksual, bermaksud ia boleh dihentikan dengan strategi yang tepat dan kumpulan sasar yang betul.

Tedros juag menggesa semua negara untuk mendekati komuniti itu untuk menyampaikan maklumat dan perkhidmatan serta mengambil langkah betul yang melindungi komuniti terjejas.

Namun, di sebalik gesaan untuk mendekati kelompok tertentu, muncul permintaan untuk menamakan semula penyakit berkenaan bagi mengelak stigma.

AFP melaporkan, New York City (NYC) meminta WHO menamakan semula virus cacar monyet bagi memastikan kumpulan yang disasarkan tidak takut tampil untuk mendapatkan rawatan.

NYC mencatatkan kes yang tinggi berbanding bandar lain di Amerika Syarikat dengan lebih 1,000 jangkitan dikesan setakat ini.

Pada sidang media bulan lalu, WHO telah mengapungkan idea untuk menukar nama virus itu, dan belum membuat sebarang keputusan setakat ini.

Pesuruhjaya kesihatan awam NYC Ashwin Vasan berkata, cacar monyet sebenarnya tidak berasal dari primat seperti namanya.

Katanya, penggunaan nama seperti itu hanya memburukkan keadaan sebagaimana bekas presiden Donald Trump memanggil Covid-19 sebagai 'virus China' yang hanya menimbulkan sentimen perkauman.

Walaupun setakat ini jangkitan berkenaan menular dalam kalangan lelaki yang menjalin hubungan dengan lelaki namun ia sedikit sebanyak mengundang kebimbangan awam.

Sejauh mana kita yang tidak terbabit dengan hubungan songsang ini perlu risau?

Cacar monyet merebak terutamanya melalui sentuhan kulit ke kulit, biasanya dengan seseorang yang mengalami ruam aktif serta melalui sentuhan dengan pakaian atau peralatan tempat tidur yang tercemar.

Ia tidak menular semudah virus SARS-CoV-2 yang mendorong wabak Covid-19 dan merebak melalui laluan pernafasan serta sangat mudah berjangkit, yang dilihat tidak berlaku dengan cacar monyet, kata Dr Martin Hirsch dari Hospital Besar Massachusetts.

Risiko cacar monyet adalah sederhana di seluruh dunia, kecuali di Eropah di mana WHO telah menganggap ia berisiko tinggi.

Namun, pegawai kesihatan dari beberapa negara telah menggesa WHO untuk melabelkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa berikutan peningkatan pantas kes dan kebimbangan ia mungkin menjadi endemik di lebih banyak negara.

Ia bertujuan untuk merangsang tindakan global dan kerjasama dalam segala-galanya daripada ujian kepada pengeluaran dan pengedaran vaksin dan rawatan.

Pegawai kesihatan mengatakan bahawa orang ramai harus mengelakkan hubungan peribadi rapat dengan seseorang yang mempunyai penyakit yang menunjukkan ruam yang jelas atau yang tidak sihat.

Mereka yang mengesyaki diri sendiri menghidap cacar monyet harus mengasingkan diri dan mendapatkan rawatan perubatan.

Pegawai kesihatan juga telah menawarkan vaksin cacar monyet kepada individu berisiko tinggi dan mereka yang baru-baru ini berhubung rapat dengan orang dijangkiti. Gejala cacar monyet sering sembuh dengan sendirinya dalam beberapa minggu.

Pesakit mungkin menerima cecair tambahan dan rawatan tambahan untuk jangkitan bakteria sekunder.

Buat masa ini, usahlah terlalu bimbang dengan jangkitan cacar monyet sekiranya kita masih berpegang dengan ajaran Islam.

Namun, mengambil sikap berhati-hati tidak akan merugikan sesiapa.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 5:59 AM