LAPORAN RAP Harian Metro, 8 Jun lalu.
LAPORAN RAP Harian Metro, 8 Jun lalu.
Najiy Jefri

Sejak pandemik Covid-19 menyerang negara dua tahun lalu, industri muzik tanah air seakan-akan suram dan sepi tanpa sebarang konsert secara fizikal.

Bagaimanapun, fasa peralihan ke endemik sejak lebih dua bulan lalu mengubah dan memberi warna baharu kepada industri seni untuk terus berkarya dan menghiburkan pencipta muzik.

Lebih mengujakan, segala konsert diadakan disambut baik oleh masyarakat tempatan yang sudah lama merindukan suasana konsert yang dihadiri ramai penonton di setiap lokasi penganjuran.

Malah, peminat juga begitu euforia untuk bertemu empat mata dan menyaksikan persembahan hebat yang dibawakan idola mereka secara langsung dengan kehebatan sistem bunyi dan barisan pemuzik yang cukup hebat.

Tak sangka, tahun ini menyaksikan kebanjiran konsert, bukan hanya di Malaysia bahkan di beberapa negara jiran juga meriah dengan konsert pujaan hati masing-masing.

Melihat sambutan di negara ini, rata-rata peminat begitu dahagakan hiburan yang selama ini tidak dapat mereka sertai akibat pandemik Covid-19.

Maka tidak hairan setiap penganjuran konsert boleh dikatakan menerima sambutan baik sehingga ramai berlumba-lumba mendapatkan tiket terbaik untuk dinikmati.

Kejayaan beberapa konsert yang diadakan baru-baru ini seperti konsert solo Datuk Hattan yang dinamakan Konsert Hattan 35 Years Journey yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 4 dan 5 Jun masih menjadi buah mulut ramai.

Sepanjang tiga jam beraksi, emosi penonton larut dalam kesyahduan vokal Hattan yang seakan-akan merintih terutama ketika menyanyikan lagu bernada melankolik seperti Meniti Perjalanan, Arca, Dia, Memburu Rindu, Sekuntum Mawar Merah dan Mahligai Syahdu.

Malah, pada tarikh yang sama ada sebuah lagi konsert yang turut berlangsung di lokasi bertaraf antarabangsa, Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang dengan kemunculan barisan asal Search Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal.

Menariknya lagi dalam kalendar Jun ini, Search yang kini terbahagi dua turut menawarkan dua konsert berbeza dalam seminggu.

Berpeluang menghadiri konsert Search Rockin' On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell yang menampilkan Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) pada Ahad lalu, nyata konsert terbabit berjaya menghimpunkan peminat sebenar Search yang selama ini menantikan lagu-lagu yang jarang kumpulan itu bawakan dalam sebuah konsert.

Konsert Search Rockin' On Rooftop juga memperlihatkan lebih 3,000 peminat yang setia menanti kemunculan kumpulan itu meskipun cuaca hujan pada hari konsert terbabit. Ia langsung tidak melemahkan semangat peminat untuk menyaksikan bersama sahabat dan ahli keluarga. Luar biasa penangan Search ini!

Minggu ini kita bakal menyaksikan pula kehebatan kumpulan UK's yang bakal mengadakan konsert berskala besar iaitu Konsert UK's Reunion 25 Tahun di Istana Budaya pada Sabtu dan Ahad ini.

Konsert UK's Reunion 25 tahun bakal menggabungkan ahli kumpulan UK's iaitu Amir selaku penyanyi, Denil (gitar), Olley (bass) dan Amirul (dram). Dua malam konsert ini pastinya akan memberi momen manis kepada kumpulan itu yang tidak pernah berpeluang mengadakan konsert secara besar-besaran sebelum ini.

Tak sabar rasanya nak lihat kemampuan vokal Amir yang masih dahsyat dalam membawakan lagu-lagu bernada tinggi meskipun usianya kini sudah mencecah 50 tahun. Semoga berjaya!

Ada satu konsert lagi yang penulis tidak sabar untuk hadir dan melihat kehebatan figura muda ini dalam mengadakan konsert di Istana Budaya pada 25 dan 26 Jun depan.

Konsert yang dinamakan A Night With Aina Abdul 2.0 itu dikatakan bakal memberi pelbagai kejutan kepada setiap peminat yang hadir. Entah apa pula gaya fesyen yang bakal digayakan Aina nanti.

Bakal beraksi dua malam, konsert yang dipimpin oleh Mac Chew dan Jenny Chin itu juga dijangka membuatkan penonton larut dengan kemerduan suara bintang muda yang semakin meningkat ini.

Akhir kata penulis ingin mengajak seluruh pembaca Harian Metro untuk menyokong dan menghidupkan industri seni supaya terus maju.

Bagi yang belum mendapatkan tiket, cepat-cepat kita serbu bagi menikmati persembahan yang ditampilkan bakat tempatan. Ayuh sokong produk lokal!

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 5:59 AM