UBAHLAH sikap supaya kita boleh menjadi pemandu yang berhemah, bertolak ansur dan menghormati orang lain.
UBAHLAH sikap supaya kita boleh menjadi pemandu yang berhemah, bertolak ansur dan menghormati orang lain.
Noor Mohamed Shakil Hameed

Beberapa hari saja lagi untuk umat Islam akan menyambut Aidilfitri. Bilangan kenderaan di semua lebuh raya utama bakal meningkat berlipat ganda kerana warga kota mula bercuti dan pulang ke kampung halaman.

Pergerakan pulang ke kampung besar-besaran dijangka bermula 30 April ini dan pihak berkuasa menjangkakan kira-kira 14 juta kenderaan berada di atas jalan raya tiga hari sebelum Aidilfitri.

Sememangnya bilangan kenderaan tahun ini diramal lebih banyak berbanding sebelumnya disebabkan keterujaan warga kota menyambut hari raya di kampung setelah tidak dapat melakukannya selama dua tahun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Situasi ini sekali gus mencetuskan kegusaran khususnya dalam kalangan pihak berkuasa kerana kemungkinan bilangan kemalangan terutama kemalangan maut naik mendadak jika pengguna jalan raya tidak berhati-hati ketika memandu.

Hal ini tidak mustahil berlaku kerana rekod sebelum ini menunjukkan kadar kemalangan mencatatkan trend menaik ketika musim perayaan utama khususnya menjelang hari raya.

Statistik kadar kemalangan ketika musim perayaan yang diperoleh melalui operasi khas yang biasa dikenali Op Sikap mahupun Op Selamat selama ini jelas menakutkan dan cukup merisaukan.

Akibat daripada situasi ini sambutan Aidilfitri mahupun perayaan lain yang sewajarnya disambut dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan bersama semua ahli keluarga seringkali bertukar menjadi mimpi ngeri buat segelintir rakyat kita. Mereka terpaksa menahan pilu meratapi kehilangan insan tersayang serta ahli keluarga lain yang terkorban dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman ataupun ketika kembali ke kota.

Dalam konteks ini antara punca utama kemalangan maut adalah disebabkan kecuaian manusia iaitu terbabas sendiri, pemanduan tidak cekap, salah pertimbangan, memandu dengan melebihi had laju, suka mencelah atau himpit kenderaan lain, memecut sesuka hati, tidak beri isyarat membelok, kurang tumpuan, tidak bersedia secukupnya untuk memandu, tidak memeriksa kenderaan, kurang sabar dan tidak peduli keadaan jalan raya.

Hakikatnya walaupun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan secara berterusan oleh pihak berkuasa, namun jelas sekali sikap pemandu kita terus menjadi punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan maut di negara kita. Pelbagai hasil kajian juga membuktikan sikap pemandu sebagai antara punca utama kepada kemalangan maut yang berlaku di negara kita.

Antaranya, sikap mementingkan diri, tidak pedulikan hak dan keselamatan pengguna jalan raya lain, tidak mematuhi undang-undang serta ego dilihat seringkali menyumbang kepada peningkatan statistik kemalangan di negara kita.

Ini termasuk sikap pemandu yang memandang rendah pada tindakan undang-undang yang dikenakan jika melakukan sesuatu kesalahan di jalan raya.

Kita perlu akui bahawa sikap adalah aspek yang amat sukar untuk diubah dan dibentuk dalam sekelip mata kerana sikap pada zahirnya sebati dalam diri individu masing-masing.

Misalnya, karakter seperti baran, tak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri, ingin menunjuk-nunjuk, berlagak seperti jaguh di atas jalan raya serta tidak mahu mengalah dan bertolak ansur dilihat sudah sebati dalam diri sebahagian besar pemandu kita. Buatlah kajian sebanyak mana sekalipun inilah jawapannya.

Inilah hasil ataupun perwatakan yang dimiliki majoriti pemandu kita yang terus menjadi duri dalam daging di atas jalan raya. Justeru menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini penulis merayu kepada semua pengguna jalan raya agar tingkatkan tahap kesedaran dan keselamatan ketika memandu.

Ubahlah sikap supaya kita boleh menjadi pemandu yang berhemah, bertolak ansur dan menghormati orang lain ketika berada di atas jalan raya.

Ingatlah kata-kata keramat yang sering diungkapkan iaitu "seminit tidak membawa erti jika ia berakhir dengan tragedi" dan hanya kita sendiri yang mampu mengubah sikap dan ego kita ketika memandu.

Sudah-sudahlah merisikokan keselamatan diri, ahli keluarga dan pengguna jalan raya yang lain disebabkan sikap mementingkan diri kita sendiri.

Jujurnya tidak salah dan tidak rugi jika kita lebih berhati-hati, bertimbang rasa dan sedikit mengalah ketika berada di atas jalan raya demi perlindungan dan keselamatan semua.

Buanglah jauh-jauh ego yang lebih memudaratkan dan peganglah pada prinsip biar lambat asalkan selamat supaya masing-masing selamat sampai ke destinasi dan boleh meraikan lebaran bersama kaum keluarga.

Amalkanlah tiga tip mudah iaitu kawal kelajuan ketika memandu, bersabar di atas jalan raya termasuk dengan gelagat pemandu lain serta pastikan diri sentiasa cergas ketika memandu terutamanya membabitkan perjalanan yang jauh kerana boleh mengantuk dan membawa kepada pelbagai musibah.

Ingat juga pesan pihak berkuasa bahawa enam kesalahan utama melalui Op Selamat 18 sempena Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei depan, tidak akan lagi dikenakan kompaun, sebaliknya perlu menyelesaikan kes itu di mahkamah.

Enam kesalahan itu ialah, memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Raikanlah lebaran kali ini bersama ahli keluarga dengan air mata kegembiraan dan bukannya tangisan.

Jangan biarkan ahli keluarga tangisi kepulangan kita. Marilah pada tahun ini kita memasang tekad agar mengawal perasaan dan nafsu ketika di atas jalan raya selaras didikan Ramadan yang mulia ini supaya sama-sama dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kemalangan.

Ingat, semua orang hendak pulang ke kampung beraya bersama keluarga jadi jangan sesekali kita membiarkan jalan raya bermandi darah lagi.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 9:39 AM