GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Rasuah dilihat mula menjadi ancaman besar dalam proses penyampaian perkhidmatan awam di negara kita.

Hampir setiap hari ada saja penjawat awam yang ditangkap atau didakwa atas pelbagai kesalahan integriti seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Justeru, sudah tiba masanya untuk penjawat awam menukar sikap daripada 'jangan jaga tepi kain orang' kepada 'jaga tepi kain orang.'

Adab hidup bermasyarakat, kita memang dianjurkan supaya tidak menyibuk dalam soal orang lain atau ringkasnya jangan jaga tepi kain orang supaya masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih harmoni.

Namun, dalam soal menegur atau mempedulikan salah laku yang berlaku terutama di depan mata kita, adalah wajar untuk kita membudayakan prinsip jaga tepi kain orang.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman baru-baru ini dalam Amanat KPPA 2021 menganjurkan supaya penjawat awam perlu mengambil sikap 'jaga tepi kain' bagi memastikan gejala rasuah dalam perkhidmatan awam dapat ditangani dan tidak merebak menjadi barah.

Ironinya bila bercakap berkaitan rasuah anggota masyarakat akan merujuk kepada aktiviti rasuah yang berlaku dalam kalangan penjawat awam, justeru syor KPPA ini dilihat hadir tepat pada masanya.

Secara jujurnya, agak mustahil apa jua perbuatan rasuah yang berlaku dalam sesuatu jabatan itu tidak diketahui oleh rakan sekerja yang lain.

Namun, apa yang biasa berlaku ialah majoriti daripada kita memilih untuk berdiam diri, tidak mahu ambil peduli dan ada juga yang takut untuk membuat aduan kerana khuatir diri akan menjadi sasaran.

Walaupun penjawat awam yang membuat aduan atau memberikan maklumat dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 di mana mereka tidak boleh dikenakan sebarang tindakan tidak wajar oleh ketua jabatan atau pegawai kanan, namun percayalah secara realitinya memang agak sukar untuk kita tampil membuat aduan lebih-lebih lagi terhadap rakan sekerja sendiri.

Ini termasuk ganjaran yang disediakan masih gagal untuk menarik minat penjawat awam menjadi pemberi maklumat.

Akhirnya, kelompok minoriti yang terpalit dengan rasuah ini kelihatan menang dan bebas meneruskan aktiviti tidak bermoral mereka itu sehingga terus menjadi virus yang sukar diubati.

Akibatnya masyarakat melihat perkhidmatan awam terlalu sinonim dengan masalah rasuah dan sudah semestinya ini menjejaskan imej perkhidmatan awam serta nama baik majoriti penjawat awam yang bertugas dengan penuh dedikasi dan amanah.

Jadi, sudah tiba masanya untuk kita perbaiki budaya takut, tidak peduli serta tidak mahu jaga tepi kain orang seperti ini.

Jika mahu memerangi rasuah secara menyeluruh dan membersihkan perkhidmatan awam dari virus ini, kita perlu menerapkan budaya jaga tepi kain dalam jiwa dan sanubari setiap penjawat awam, khususnya dalam konteks memperbaiki dan menangani masalah integriti yang semakin membimbangkan.

Dalam hal ini, penulis juga tertarik dengan saranan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki yang melihat usaha memperbaiki budaya negatif dalam sektor awam ini perlu dilakukan secara dalaman dan tidak boleh dipandang remeh.

Maksud di sini, setiap penjawat awam perlu memikul tanggungjawab untuk membersihkan nama baik perkhidmatan awam dari terus terpalit dengan masalah integriti.

Penjawat awam perlu sedar, tanggungjawab mereka bukan saja memberikan perkhidmatan yang efisien kepada rakyat, tetapi turut perlu memainkan peranan yang aktif dan agresif dalam memelihara nama dan imej jabatan masing-masing.

Ringkasnya, jangan kompromi dalam soal integriti jabatan walaupun yang melakukan kesalahan itu adalah rakan kita sendiri.

Oleh itu, penulis menyeru setiap penjawat awam menjadi mata dan telinga SPRM dengan cara sentiasa menjaga tepi kain supaya dapat menjejaki segala salah laku yang berlaku di jabatan masing-masing.

Peganglah kepada prinsip berani kerana benar dan tiada kompromi dalam soal integriti.

Buang jauh-jauh rasa takut dan tidak yakin serta pedulikan gelaran sinis yang diberikan seperti pengkhianat mahupun pengintip kerana niat kita adalah betul dan kita mahu memelihara nama baik jabatan.

Jangan lupa, mereka yang terpalit dengan rasuah inilah sebenarnya pengkhianat rakyat dan negara.

Dalam hal ini, kita juga menuntut supaya pihak berkuasa mempertingkatkan lagi jaminan kepada penjawat awam yang berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan.

Yakinkan mereka bahawa keselamatan diri, keluarga serta kerjaya akan terus terpelihara.

Ironinya, naluri manusia sememangnya kita tidak mahu terlibat dengan sebarang masalah yang boleh mengancam diri dan keluarga, justeru, yakinkan penjawat awam bahawa perbuatan melaporkan rasuah adalah tindakan seorang wira yang menyelamatkan maruah perkhidmatan awam.

Kita yakin jika pihak kerajaan boleh meyakinkan tahap keselamatan penjawat awam yang memberi maklumat, ramai yang akan mula tampil untuk membuat laporan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang bentuk ganjaran.

Jadi, biarlah 2021 ini menjadi saksi komitmen jitu setiap penjawat awam dalam memerangi rasuah secara lebih agresif dan bertanggungjawab.

Sebagai permulaan, kita memohon setiap ketua jabatan memberi jaminan keselamatan seterusnya memberi kuasa kepada setiap penjawat awam untuk menjaga tepi kain dengan mempedulikan apa yang berlaku di sekitar mereka.

Katakan tidak pada rasuah kerana rasuah musuh utama rakyat dan negara.


Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:00 AM