BUDAYA pemakaian harus dipupuk dari kecil. FOTO Azhar Ramli
BUDAYA pemakaian harus dipupuk dari kecil. FOTO Azhar Ramli
Aniza Zainudin

KESEDARAN dan pemantapan jati diri dalam kalangan generasi muda harus diperkukuhkan bagi memastikan budaya serta adab seiring dalam menghiasi peribadi dan penampilan.

Keghairahan untuk tampil dengan pesona berbeza yang sering dikaitkan dengan unsur asing membuatkan anak muda hari ini ‘meninggalkan’ budaya berbusana, bertutur mahupun pembawaan diri.

Budayawan Melayu, Prof Dr Siti Zainon Ismail tidak menafikan elemen adab adalah perkara yang penting dan semakin berkurangan dalam diri masyarakat hari ini, khususnya kaum Melayu.

“Merujuk pada definisi budaya, harus diketahui bahawa erti perkataan budaya itu adalah gabungan ‘budi’ dan ‘daya’.

“Perkataan budi merujuk kepada pekerti atau akhlak, manakala daya pula bermaksud usaha yang dilakukan. Sekiranya ibu bapa tidak berusaha menanam budi dalam diri anak, maka berlakunya situasi hari ini.

“Situasi yang dimaksudkan adalah menerima apa saja yang dilihat dan melakukannya. Saya lihat kekurangan adab dan budaya ini berpunca daripada sistem pendidikan yang seharusnya bermula dari rumah, manakala peranannya digalas oleh ibu bapa.

“Mengambil kisah sendiri, emak yang memiliki kemahiran menjahit menghasilkan sehelai celana untuk saya, namun akhirnya seluar itu digunting oleh nenek.

“Cuma satu jawapan nenek, cucunya adalah perempuan, mana mungkin memakai seluar yang sememangnya pakaian lelaki.

“Manakala waktu tidur pula, saya perlu memakai sarung. Berbeza pada hari ini, masih adakah emak yang menyuruh anak perempuannya memakai kain sarung ketika tidur?

“Sebaliknya, apa yang terjadi, anak boleh memakai apa saja yang ada di depan mata dengan menggunakan pakaian sama bagi aktiviti lain.

“Tidak dinafikan saya juga pernah melakukan eksperimen pada waktu muda dengan memakai kebaya dipadankan bersama seluar denim.

“Melihat gaya berpakaian itu, emak menegur ke manakah destinasi tujuan saya sama ada hanya ingin keluar ke pasar mahupun memenuhi jemputan perkahwinan.

“Beliau melarang sama sekali sekiranya fesyen berkenaan digayakan untuk majlis perkahwinan. Sejak itu, saya memilih dan lebih selesa untuk mengenakan sarung, kemudian saya melakukan perkara sama kepada anak,” katanya ketika ditemui dalam Bengkel Mengenali Busana Melayu di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini.

PERKONGSIAN dalam Bengkel Mengenali Busana Melayu. FOTO Azhar Ramli
PERKONGSIAN dalam Bengkel Mengenali Busana Melayu. FOTO Azhar Ramli

Siti Zainon menegaskan bahawa budaya pemakaian dan berbahasa seharusnya dipupuk sejak kecil di rumah, namun beliau memahami situasi ibu bapa hari ini yang sibuk bekerja hingga terpaksa melepaskan tanggungjawab menjaga anak ke tangan pembantu rumah.

Ujarnya, budaya bukan hanya membabitkan tarian mahupun nyanyian sebaliknya ia lebih meluas merangkumi pemakaian, komunikasi dan bahasa.

Merujuk pada fesyen pengantin hari ini, Siti Zainon berkata, pengantin lelaki masih lagi bergaya dan setia dengan pemakaian baju Melayu.

Berbeza situasi pengantin wanita yang memilih gaya fesyen Barat, namun tidak ada pihak yang memberi teguran termasuk ibu bapa.

Menurutnya, ibu bapa berdepan kekangan untuk memberi teguran mahupun pandangan kerana ‘tidak mempunyai kuasa’ gara-gara setiap keputusan dan pilihan bergantung pada si anak.

Katanya, permasalahan ini turut dikaitkan dengan adab dan kurangnya peranan mak andam yang seharusnya memenuhi kriteria seperti wanita sudah berkahwin, kini diambil alih oleh ‘pak andam’.

PADANAN selendang tekat serlah gaya berfesyen. FOTO Azhar Ramli
PADANAN selendang tekat serlah gaya berfesyen. FOTO Azhar Ramli

Menerusi pembentangan kertas kerjanya, ‘Mengenali Busana Perempuan Persalinan Gaya Negeri Selangor Catatan 1930-1970-an di Gombak, Selangor, Siti Zainon mendedahkan bahawa masih ada negeri yang tercari-cari nilai identiti kerana tidak mempedulikan nilai warisan yang kaya dengan kebijaksanaan tempatan.

Kebaya dikenal pasti sebagai identiti busana tradisional di Selangor berdasarkan kajian dan pemerhatiannya, beliau berkata, rekod diperoleh berdasarkan gambar dimiliki ibu membuktikan kebaya labuh, sarung, kerudung atau selendang bersama kerongsang sudah digayakan pada 1940-an dan mungkin lebih lama daripada data berkenaan.

Perkembangan fesyen itu berubah dengan pemakaian kebaya pendek bersama kain batik lepas Jawa atau sarung bercorak batik sekitar 1940-an hingga 1970-an, diikuti kebaya pendek atau kebaya Bandung.

HIASAN kerongsang di bahagian depan. FOTO Azhar Ramli
HIASAN kerongsang di bahagian depan. FOTO Azhar Ramli

Mengulas isu keghairahan menimbulkan identiti asal, tokoh ini menyebut ketika zaman penjajahan Belanda dan Inggeris, kebanyakan orang nusantara melarikan diri ke Tanah Melayu kerana tidak sanggup dijajah.

“Justeru, negara ini menjadi pusat baru bagi mereka memulakan kehidupan. Apabila British memberi penekanan mengenai kependudukan tetap bagi warga nusantara di Selangor menjadikan mereka anak Selangor dengan pelbagai latar belakang dan suku sama ada Banjar, Jawa dan sebagainya.

“Baru-baru ini, saya menyedari bahawa munculnya keghairahan masyarakat untuk menimbulkan kembali identiti asal mereka. Ini terbukti dengan sambutan perayaan gaya Jawa dan Makasar yang diadakan di Selangor.

“Keadaan ini mewujudkan pertembungan ataupun silang budaya yang semakin bercambah. Bagi mengawal silang budaya ini, kita bertanggungjawab memperbetulkan dan mengenal pasti identiti sebenar Selangor.

WANITA dahulu bijak bergaya. FOTO Azhar Ramli
WANITA dahulu bijak bergaya. FOTO Azhar Ramli

“Kita harus memilih identiti itu, jika wujudnya unsur Jawa, ia perlu disebut Jawa Selangor supaya ia tidak menimbulkan isu politik. Gara-gara silang budaya yang dipolitikkan, Malaysia dikatakan cuba meniru Jawa, Minang dan sebagainya di Indonesia.

“Bagi tujuan mengenal pasti ini, kita memerlukan bantuan daripada pemikir budaya. Malangnya, di Selangor sendiri, kita mengalami kekurangan pemikir budaya jika dibandingkan dengan Johor dan Perak.

“Selangor mempunyai banyak budaya tetapi pendidikannya tergantung. Apabila pemimpin baru mengambil alih pucuk pimpinan, akan berlakunya kajian baharu namun isinya berulang-ulang,” jelasnya lagi.

WARNA yang ceria. FOTO Azhar Ramli
WARNA yang ceria. FOTO Azhar Ramli

Menurut Siti Zainon, individu yang berpengalaman dan berpengetahuan wajar dikenal pasti untuk diserahkan tugasan ini kerana budaya seharusnya dikongsi bersama.

Kewujudan institusi pengajian tinggi yang memberi ruang kepada pensyarah melakukan kajian disifatkan positif, cuma sewajarnya mereka menghargai dan membawa tokoh yang berkongsi maklumat dan data berkenaan ke tengah menerusi rujukan penyelidikan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:01 AM