Ryan Bakery.
Ryan Bakery.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur : Pempengaruh dan penyanyi Ryan Bakery, 28, terkejut loghat Perak yang dibualkan dengan anaknya baru-baru ini disalah tafsir sehingga mendapat kecaman netizen.

Ryan atau nama sebenarnya, Muhammad Ryan Fahmi Bakery menafikan dia memanggil anaknya 'gila' sebaliknya dialog sebenar ketika itu adalah 'minum sajalah' tapi dalam loghat Perak.

"Kisahnya, saya dan isteri sedang berada di hospital untuk pemeriksaan anak. Ketika itu, saya sedang bermain dengan anak sebab dia meragam.

"Dia tak nak dengan saya tapi dengan ibunya, dia diam pula. Kemudian, anak minum susu sambil tengok saya dan saya pun berseloroh kata, 'minum ajeler, tengok-tengok pula'.

"Cara saya cakap itu laju dan orang ingat saya kata 'minum giler'. 'Minum ajeler' ni memang loghat Perak," katanya ditemui pada majlis iftar Indigital Music x FYP Media, di sini, baru-baru ini.

Ryan tidak sangka insiden itu disusuli komen-komen yang bersifat menghentam menerusi mesej langsung (DM) di Instagram dan menurutnya kena buat penjelasan.

"Pasa saya, ia adalah salah tafsir dan pendengaran. Saya pun terkejut bila ramai sangat yang menonton IG stories saya ketika itu. Bila buka ruangan DM, tiba-tiba saya dapat banyak mesej yang hentam saya kerana mengatakan anak gila.

"Pengurus saya kata, tak perlu layan. Namun, saya rasa saya tak boleh diam saja. Kena jelaskan juga. Kalau tersebar di Facebook lagi teruk nanti. Saya pula memang tiada akaun itu (Facebook) dan yang ada semua ialah akaun palsu. Kalau tak jelaskan, saya juga sakit nanti," katanya.

Bagi Ryan, salah tafsir begitu biasa dan tidak ambil hati pun dengan teguran diterimanya.

"Bahaya juga bila salah dengar ini. Kena berhati-hati ketika bercakap depan kamera. Namun, saya faham ia hanyalah salah faham. Loghat itu tidak salah, tapi kena cakap dengan jelas. Loghat Perak saya memang pekat. Sudah duduk di Kuala Lumpur pun masih cakap loghat Perak," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 10:49 AM