RYAN Bakery menang kategori Popular Creator of the Year di TikTok Awards Malaysia 2023. FOTO Saifullizan Tamadi
RYAN Bakery menang kategori Popular Creator of the Year di TikTok Awards Malaysia 2023. FOTO Saifullizan Tamadi
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Menang kategori Popular Creator of the Year di TikTok Awards Malaysia 2023 malam tadi adalah rezeki buat pempengaruh media sosial, Ryan Bakery yang bakal menjadi bapa apabila isterinya, Elyia Ibrahim kini hamil lima bulan.

Ryan berkata, kemenangan itu adalah rezeki yang dikongsi bersama isteri dan bakal anak mereka nanti.

"Alhamdulillah, saya rasa nak menangis dengan kemenangan ini," katanya.

Menurut Ryan, dia dan isteri juga sudah memilih nama untuk bayi yang bakal lahir itu.

"Kalau lelaki, kami nak namakan Ryan Izra dan kalau perempuan, kami akan namakan Raisha Ezra. Saya mohon doa daripada semua," katanya.

Ditanya mengenai proses kehamilan isterinya, Ryan berkata, isterinya tidak mengalami alahan yang teruk dan mengidam benda yang tidak terlalu sukar untuk didapatkan.

"Alhamdulillah, dia tak ada alahan teruk. Saya pun tak ada alami sebarang alahan. Kalau mengidam, apa yang dia mahu taklah terlalu susah nak cari seperti teh hijau.

"Yang mencabar adalah kediaman kami di Temerloh agak jauh dari pekan dan bila dia nak minum teh hijau, saya kena keluar jauh juga untuk mencari," katanya.

Ryan menewaskan lima calon lain dalam kategori berkenaan iaitu @drbengee, @alexhkf, @sofyank96, @gigicheoh, dan @itsjovynn.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 2:34 PM