Norhayati Nordin

Kuala Lumpur : Pelakon Azhan Rani, 48, bersama empat lagi pendaki lain terpaksa akur tidak meneruskan pendakian mereka ke puncak Gunung Island Peak di Nepal hari ini kerana faktor keselamatan akibat angin kencang selain suhu terlalu sejuk iaitu -25 darjah celcius.

Azhan bersama Ketua Pendaki, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, Azmi Mohd Ariffin, Khalid Abd Hanid dan pendaki tunggal wanita, Zarina Abd Rahman terpaksa berpatah balik walaupun mereka sudah mendaki di ketinggian 5,600 meter dari aras laut.

Azhan berkata, dia tetap bersyukur walaupun misinya ingin cuba menawan Island Peak yang berketinggian 6,160 meter itu tidak menjadi kenyataan kerana faktor keselamatan lebih utama.

"Apa yang bermain pada fikiran saya sekarang adalah nak balik ke rumah dengan selamat selepas menempuh pengalaman yang menakutkan. Belum rezeki, tapi keselamatan kami berlima lebih penting.

"Saya tak rasa gagal sebab faktor cuaca di atas ini tiada siapa yang tahu. Bagaimanapun, kami semua memulakan pendakian untuk ke Island Peak ini dalam keadaan fizikal yang baik dan semangat juang tinggi, namun Allah lebih tahu," katanya.

Sementara itu, Mohd Fakhrul Munir berkata, keputusan untuk berpatah balik dan tidak meneruskan pendakian itu dibuat selepas perbincangan dengan Sherpa.

"Pendakian kami ke puncak terhalang selepas hanya mampu mencuba di separuh jalan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan serta mengambil kira faktor keselamatan semua.

"Sewaktu kami tiba di High Camp pada ketinggian 5,600 meter, suhu sudah mencecah -25 darjah celcius dan tiupan angin juga terlalu kencang hingga menyukarkan pendakian untuk ke puncak Island Peak itu," katanya.

Mohd Fakhrul Munir berkata, dia berbincang dengan Sherpa dan bercadang mahu menambah sehari lagi tempoh pendakian, bagaimanapun tidak diberikan jaminan berhubung keadaan cuaca akan kembali pulih.

Pada 25 Februari lalu, seramai 13 pendaki negara menggalas cabaran mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya itu menerusi Program Amal SAR Ahsana Ke Island Peak & Everest Base Camp Bersama Azhan Rani 2024.

Diseliakan oleh Summit Attack Resources (SAR) dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan, program itu bertujuan mengutip dana bagi membantu Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan autism.

Terdahulu, majlis 'flag off' rombongan pasukan ini berlangsung di ruang legar Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad serta dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan barisan penaja terbabit.

Dalam misi ekspidisi itu, lima daripada lapan pendaki ke Everest Base Camp (EBC) difahamkan sudah berjaya menjejakkan kaki di situ dengan paras ketinggian iaitu 5,364 meter dari aras laut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 1:48 PM