Shuib dan Watie bersama anak, Ayash Affan. Foto Instagram
Shuib dan Watie bersama anak, Ayash Affan. Foto Instagram
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelawak dan usahawan, Shuib, 39, menyifatkan insiden kerugian sebanyak RM100,000 dialami isterinya, Watie Hanifiah, 36, akibat ditipu skim pelaburan disertai sebagai satu pengajaran.

Shuib atau Shahmira Muhammad berkata, dia juga tidak melihat Watie sebagai isteri yang degil kerana wanita itu ada berbincang dengannya, memujuk untuk bersetuju dan tidak pandai-pandai buat keputusan sendiri.

"Watie ini degil sangat, taklah. Mana ada degil pun, dia (Watie) saja-saja cakap macam itu.

"Cuma, mungkinlah untuk kejadian yang kena 'scam' (tipu) ini dia ada keyakinan dirinya, ada kira-kira yang buat dia rasa boleh ni, jadi dia (Watie) berusahalah meyakinkan suaminya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shuib, dia mulanya memang tidak bersetuju apabila Watie mahu menyertai skim pelaburan terbabit, namun selepas dipujuk dan menghormati hasrat isteri, maka diizinkan dengan ikhlas.

"Apabila dia dua ke tiga kali minta persetujuan daripada saya, maka saya kata okaylah, buatlah cubalah.

Tapi, kalau jadi apa-apa kena tanggungjawab dan kalau boleh, jangan ajak atau melibatkan juga orang lain.

"Jadi, apabila kejadiannya sebaliknya (ditipu), dia (Watie) terus minta maaf pada saya. Jadi, dia ambil satu pengajaran bila suami kata A, maka A lah.

"Sebagai suami, kadang-kadang itu kita ada rasa gerak hati tersendiri. Kita pun nak terbaik untuk isteri. Tapi, tak apalah dia ambil sebagai satu iktibar. 

"Kalau tak jadi itu semua, mungkin dia pun masih tak perasan betapa begitu besarnya gerak hati seorang suami. Apapun, doakan kami semoga Allah permudahkan segala urusan," katanya.

Terdahulu, Watie mendedahkan dia menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dan mengakui sikap degilnya membawa padah apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM100,000, baru-baru ini.

Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah berkata, dia menyedari menjadi mangsa penipuan skim pelaburan disertainya itu pada Januari lalu ketika mahu terbang ke China atas urusan perniagaan.

Difahamkan Watie terjebak dengan skim pelaburan itu kerana melihat ramai yang sudah sertai dapat pulangan lumayan seperti mampu membeli rumah dan sebagainya sehingga dia sanggup memasukkan bayaran awal kira-kira RM30,000 sehinggalah RM100,000.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 4:40 PM