Affan Rostam

Persatuan Pemamer Malaysia (MAFE) menyifatkan sesi libat urus membincangkan pelbagai isu pengusaha rangkaian pawagam bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Kuala Lumpur, baru-baru ini, menjadi langkah penting dalam meningkatkan mutu industri perfileman tanah air.

Bendahari MAFE, Dr Sai Suthan berkata, MAFE selaku persatuan dianggotai pengendali pawagam di seluruh negara berpeluang mengutarakan peranan pemamer atau pengendali pawagam sebagai komponen penting dalam pemesatan industri perfileman negara.

"Pada sesi libat urus dan jalinan mesra yang julung kali diadakan itu, kami saling berbincang mengenai cabaran dihadapi dalam pengendalian harian seluruh pawagam di Malaysia.

"Kami juga memberi beberapa cadangan yang mana pawagam dapat menjadi pemangkin untuk meningkatkan mutu dan kualiti filem tempatan supaya dapat bersaing dengan standard antarabangsa," katanya

Baru-baru ini, Fahmi menghadiri sesi libat urus dan jalinan mesra bersama pengusaha pawagam yang dianjurkan FINAS dan MAFE sebagai inisiatif menyokong perkembangan industri pawagam tempatan serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan pemain industri.

Sesi interaktif berkenaan antara lain membincangkan isu yang dihadapi pengurusan pawagam, termasuk cabaran semasa yang memerlukan penyelesaian segera.

Sai berkata, menerusi sesi itu juga, MAFE dapat mengenal pasti perkara yang boleh dicadangkan untuk ditambah baik seperti dasar kerajaan.

"Ada beberapa polisi kerajaan masih dianggap birokratik yang perlu ditambah baik berlandaskan proses pendigitalan servis di agensi kerajaan yang berkait dengan tayangan filem.

"Pada masa sama, pemamer atau pengusaha panggung wayang akan terus memberi sokongan kepada filem tempatan dari segi bilangan dan durasi tayangan," katanya.

FAHMI menjawab persoalan yang diajukan dalam perjumpaan berkenaan.
FAHMI menjawab persoalan yang diajukan dalam perjumpaan berkenaan.

"Walaupun polisi ini di bawah perundangan kerajaan negeri, diharapkan kerajaan dapat mengesyorkan seperti pengurangan 10 peratus yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

"Pengurangan cukai membolehkan pemamer menggunakan peluang ini untuk pembinaan lebih banyak lagi pawagam di luar bandar yang dilihat masih ada ruang dan potensi untuk pembangunan.

"Pengurangan cukai import bagi peralatan pawagam dari luar negara yang akan mendorong penambahbaikan pawagam setanding teknologi antarabangsa juga dibincangkan," katanya.

Sai berkongsi, antara lain cadangan dikemukakan adalah MAFE terbuka untuk memberi sokongan kepada industri pelancongan di negara ini menerusi sektor perfileman.

"Berikutan 2026 adalah Tahun Melawat Malaysia, persatuan berniat memberi sokongan kepada industri pelancongan dengan menayangkan video promosi setiap negeri.

"Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching turut mencadangkan promosi pelancongan negeri dimainkan di negeri lain dan MAFE perlu melihat impak positif daripada langkah sedemikian," katanya.

Sesi libat urus berkenaan turut dihadiri Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin serta pengusaha pawagam seperti GSC, TGV, LFS, MBO dan MMC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 6:30 AM