Penyanyi, Noh Salleh hadir bagi proses Sulh berkaitan anak angkatnya bersama Mizz Nina di Mahkamah Syariah Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Penyanyi, Noh Salleh hadir bagi proses Sulh berkaitan anak angkatnya bersama Mizz Nina di Mahkamah Syariah Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Georgie Joseph


Shah Alam: Penyanyi Noh Salleh, 39, menjelaskan urusan mengambil Musa pada 19 Disember lalu sudah diketahui bekas isterinya, Mizz Nina atau Nina dan menolak tuduhan bahawa dia menculiknya.

Noh atau nama sebenarnya Muhammad Noh Salleh berkata, dia tidak pernah menyorok Musa dan memang ada berbincang dengan Nina berhubung soal hak penjagaan bersama.

"Saya sudah dapat surat penyerahan daripada ibu kandung Musa dan Nina tak boleh mendakwa saya menculik Musa. Saya tak culik Musa, kalau saya culik, pasti saya akan sorokkan dia.

"Saya pergi Sabah sebab ada persembahan dan saya tunjuk Musa ada dengan saya. Saya mencari Nina dan ajak dia berbincang untuk menjaga Musa bersama-sama," katanya selepas prosiding sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Shah Alam, hari ini.

Penyanyi kumpulan Hujan itu juga sudah berulang kali menyatakan mahu hak penjagaan Musa dibahagi sama rata antaranya dengan Nina.

"Kalau boleh nak jaga sama-sama, mahu 50-50. Ada sebab saya buat benda ini. Saya takkan suka-suka nak masuk campur hal rumah tangga orang. Semua untuk kebaikan Musa. Musa bukan anak dia (Nina)," katanya.

Noh diwakili dua peguam iaitu Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin pada prosiding itu.

Peguam mewakili Nina selalu plaintif pula, Fakhrul Azman memaklumkan prosiding sulh tidak berlangsung susulan Nina menarik semula kes penjagaan penuh Musa dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara.

Nina bagaimanapun tidak hadir bagi prosiding hari ini sebaliknya diwakili suaminya iaitu Essam Muhammad.

Terdahulu, Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya, Musa tanpa kebenaran dan pengetahuan pihaknya. Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 44, mengakui perkara yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan.

Ia turut memberikan kesan emosi padanya apatah lagi dia adalah ibu susuan kepada Musa dan tidak pernah berjauhan dengan anak angkatnya selama itu. Kemudian dia mendapatkan perintah mahkamah untuk mendapatkan semula Musa.

Noh dalam kenyataan kepada media pula berkata, tiada langsung unsur penculikan seperti yang didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

Noh kemudian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dituntut ibu kandung, Musa, yang hanya mahu dikenali sebagai Athira.

Menerusi hantaran di Instagram, Noh berkata, dia juga akan mengikut beberapa tuntutan lain seperti menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini termasuk memadam gambar Musa di media sosial.

Berita berkaitan:

'Apa-apa Noh boleh cari saya, bukan Mizz Nina' - Essam

Proses sulh Noh dan Mizz Nina tak jadi

'Doakan yang terbaik' - Noh Hujan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 11:24 AM