Penyanyi, Liza Hanim beraksi pada konsert sulungnya 27 Years Journey in Concert di Zepp, Kuala Lumpur. FOTO SADIQ SANI
Penyanyi, Liza Hanim beraksi pada konsert sulungnya 27 Years Journey in Concert di Zepp, Kuala Lumpur. FOTO SADIQ SANI
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : "Kalau nak jumpa orang yang kita sayang, memang akan sakit dulu," kata penyanyi, Liza Hanim yang jatuh sakit sejak dua minggu lalu sehingga terpaksa bergantung kepada mesin nebulizer apabila mengalami masalah semput menjelang Konsert Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.

Biarpun tahap kesihatannya kurang memuaskan, Liza tetap berjaya memukau lebih 1,300 penonton dengan lebih 30 buah lagu pada konsert sulungnya selepas memulakan kerjaya nyanyian sejak 1997.

"Saya yakin anda pasti perasan saya kurang sihat ketika ini. Memang betul sudah dua minggu saya tak sihat.

"Jujurnya saya risau jika kesihatan saya masih tidak pulih menjelang konsert sebab lagu-lagu saya tahu sajalah (bernada tinggi).

"Tapi, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Mungkin semangat nak jumpa anda semua pada konsert ini saya cuba harungi dan harapnya setiap lagu dapat dipersembahkan dengan baik," katanya.

Sepanjang konsert yang berlangsung hampir dua jam 30 minit itu, Liza berjaya mengawal suaranya dengan baik dan mengalunkan lagu-lagu yang memperkenalkan dirinya di persada seni hiburan tempatan.

Antara lagu itu adalah Gelisah Mimpi, Siapa Sangka Siapa Menduga,Semilir, Andainya Aku Bersuara dan banyak lagi.

Liza turut menampilkan satu segmen khas Tribute Allahyarham Tan Sri P Ramlee dengan membawakan lagu Jeritan Batinku dan Dimanakan Ku Cari Ganti.

Lebih menarik, konsert itu turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu istimewa seperti penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza serta beberapa penyanyi hebat tempatan.

Antaranya Ziana Zain, Anuar Zain, Marsha, Jaclyn Victor, Nikki Palikat, Noryn Aziz, Aisha Retno, Dina Nadzir, Haziq Husni dan Dafi Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 10:34 AM