AMAN Graseka dan Shiera.
AMAN Graseka dan Shiera.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Mana Aman Graseka? Berilah penjelasan." Demikian luahan pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah atau Shiera yang sebelum ini memuat naik hantaran dengan niat ingin membantu rakan artis, Aman Graseka.

Shiera membuat luahan dan permintaan itu selepas ramai yang menganggap tangkap layar mesej yang dimuat naik Shiera sebelum ini memaparkan kiriman mesej dari Aman, diragui kesahihannya.

"Sekurang-kurangnya, ucapkanlah terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi membantu. Sekarang, orang ramai cakap, saya yang bodoh sebab percayakan 'scammer'.

"Andai kata dia (Aman) kena 'scam', jelaskanlah. Mungkin kita tak tahu, ada orang seperti ejen yang 'kenakan' dia di belakang, seperti orang-orang yang jual tisu di restoran.

"Tapi, saya percaya, Aman ini orang yang baik sebenarnya," katanya.

Shiera turut menerima aduan daripada beberapa rakan artis, yang meluahkan bahawa situasi pinjam meminjam wang itu sudah berlanjutan selama tiga tahun.

"Ramai rakan artis yang mengadu dan ada yang maklumkan, benda ini dah berlarutan selama tiga tahun. Jadi, saya cakap kepada Aman supaya berhenti minta duit daripada orang.

"Saya tegaskan kepada dia, kalau dia buat lagi, saya akan buat laporan polis sebab polis boleh lihat secara terperinci segala maklumat (pemindahan wang dan akaun). Jadi, dia cakap, dia dah tak nak buat.

"Kepada saya, dia memang mengaku bahawa dia yang hantar mesej itu. Dia minta saya tak perbesarkan dan kalau boleh, saya pun tak mahu perbesarkan," katanya.

Shiera juga menyarankan agar Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) selaku persatuan yang membantu kebajikan anak seni untuk jalankan tinjauan.

"Kita tak tahu, mungkin dalam situasi hidup sekarang, ada artis yang tertekan atau apa. Jadi, mungkin Seniman boleh tinjau dan siasat," katanya.

Terdahulu, Shiera memuat naik hantaran di Instagram memaparkan tangkap layar mesej yang diterimanya daripada Aman, meminta bantuan untuk rezeki anak-anaknya.

"Semoga pagi Jumaat ini ada rezeki anak-anak hambar nak buat makan," tulis Aman dalam mesej itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 3:31 PM