Sabri, Angeline ke Tanah Suci mengerjakan umrah. 
Sabri, Angeline ke Tanah Suci mengerjakan umrah. 
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Hampir tiga bulan bergelar muslim dan memeluk Islam, pelakon Ardini Angeline Tan, 56, mendapat rezeki menjadi 'tetamu Allah' apabila berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah bersama suaminya, pelakon dan pengarah berkaliber, Sabri Yunus, 62.

Berita gembira itu dikongsikan Angeline dalam hantaran di akaun Instagram miliknya yang memohon doa ramai agar dipermudahkan segala urusan umrah itu yang pertama kali dilakukannya. 

"Pagi ini berangkat ke Tanah Suci. Terima kasih Perwira Holidays. Doakan kami," tulisnya ringkas pada kapsyen foto bersama Sabri ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Angeline tampil manis dan cantik menggayakan tudung labuh dan jubah berwarna hitam, menerima pelbagai kata-kata positif dan semangat diberikan netizen kepadanya agar memperoleh umrah yang mabrur.

"Bersih sangat muka Lucy sekarang. Hidayah itu indah, Subhanallah. Selamat menjalani ibadah umrah," komen netizen.

"Semoga mendapat umrah yang mabrur dan banyak-banyak berdoa dipermudahkan segala urusan dalam beribadah," tulis wargamaya.

"Alhamdulillah, syukur amin rezeki daripada Allah," kata seorang netizen lagi.

Terdahulu, Angeline sah memeluk Islam pada 26 September lalu dan selamat bernikah dengan Sabri dalam majlis diadakan di Perlis pada 14 Oktober lalu.

Angeline sebelum bernikah dengan Sabri, sudah 19 tahun menjadi ibu tunggal kepada dua anak, begitu juga Sabri berstatus bapa tunggal selepas kematian isterinya akibat penyakit barah.

Difahamkan rezeki mengerjakan umrah itu adalah antara hadiah perkahwinan diterima pasangan ini apabila majlis pernikahan mereka mendapat perhatian ramai serta 'direstui' satu Malaysia.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 12:43 PM