FATTAH Amin ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Estana Exclusive Baju Melayu di Boathouse by The Lake. FOTO Genes Gulitah
FATTAH Amin ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Estana Exclusive Baju Melayu di Boathouse by The Lake. FOTO Genes Gulitah
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Fattah Amin,33, menegaskan tindakan isteri mendapatkan keizinan atau restu suami dalam segala hal termasuk soal berkawan adalah tidak salah dan digalakkan.

Menurut Fattah, hal itu adalah sesuatu yang normal sekiranya seseorang itu memahami konsep dalam agama Islam iaitu isteri perlu mentaati suami. 

"Tak kisahlah dalam soal berkawan, apatah lagi nak keluar rumah, isteri memang perlu minta keizinan dan keredaan suami.

"Adalah sangat normal untuk suami beri nasihat pada isteri termasuk dalam hal berkawan kerana keizinan suami  adalah keberkatan buat isteri," katanya.

Fattah berkata, tindakan sedemikian bukan bermaksud dia cuba mengongkong isterinya yang juga pelakon terkenal, Nur Fazura, 40, apabila menentukan dengan siapa dia boleh berkawan. 

"Kalau saya kongkong Fazura, mungkin dia tidak boleh keluar menjalani penggambaran.

"Sebagai suami sudah tentu saya kena ambil tahu dengan siapa dia berkawan, dan dia pun tahu dengan siapa saya berkawan.

"Bagi saya konsep ini normal dalam konteks keluarga dan hubungan suami isteri.

"Kita sebagai orang Islam sebenarnya faham, cuma kita jangan mensensasikan perkara itu sehingga memperlihatkan sebagai negatif," katanya.

Fattah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikkannya sebagai duta baju Melayu, Eastana Exclusive, di sini, semalam.

Terdahulu, Fazura mengeluarkan kenyataan di akaun Instagram miliknya apabila mengatakan dia sangat berhati-hati dalam memilih dengan siapa dia patut berkawan.

Ia susulan kenyataan dikeluarkan pengacara dan usahawan Neelofa yang sedia berdamai dengannya,  sekali gus menamatkan krisis yang tercetus sejak 13 tahun lalu.

Melalui hantaran itu, Fazura turut menafikan wujud perang dingin dengan Neelofa seperti yang didakwa bekas pengacara Nona itu.

Selain menyatakan keizinan daripada suami wajib diberikan keutamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 11:41 AM