KUMPULAN Se7en ketika pelancaran showcase Menuju Cahaya di Hotel Ideas, Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Genes Gulitah
KUMPULAN Se7en ketika pelancaran showcase Menuju Cahaya di Hotel Ideas, Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Genes Gulitah
Ramlah Zainal


Pasti ramai yang masih asing dengan kumpulan alternatif rock dari Singapura yang menggelarkan diri mereka Se7en ini.

Namun, ia bukan penghalang kumpulan yang menampilkan lima anggota ini untuk mengembangkan sayap mereka kepada penggemar muzik di negara ini.

Menurut jurucakap yang juga pemain bass kumpulan ini, Boy, Se7en ditubuhkan pada penghujung 2019.

"Kami anggap kumpulan Se7en masih baru kerana ketika ditubuhkan dan mahu mempromosikan single, pandemik Covid-19 pula melanda seluruh dunia.

"Dalam tempoh pandemik itu, kami menggunakan ruang berkenaan untuk berkarya dan menghasilkan single demi single. Setakat ini, kami sudah menghasilkan sebanyak lapan lagu," katanya.

Selain Boy, kumpulan ini turut menampilkan vokalis (Zack), Mera (pemain drum), Zul (gitar utama) dan Ekin (pemain keyboard).

Sempena pelancaran single terbaru mereka berjudul Menuju Cahaya, kumpulan Se7en mengadakan showcase istimewa buat peminat bertempat di Hotel Ideas, Kuala Lumpur pada 21 Oktober lalu.

Kali pertama, mereka mengadakan persembahan di sini ialah showcase yang dijayakan beberapa band tempatan di Sungai Buloh pada tahun lalu.

Menurut Boy, pihak mereka mengadakan showcase di Kuala Lumpur atas undangan band tempatan, Selipar Jepun.

"Pihak kami memilih untuk melancarkan single terbaru, Menuju Cahaya dan mengadakan showcase sekali gus.

"Showcase yang berlangsung di Hotel Ideas itu juga terhad untuk seramai 80 peminat.

KUMPULAN Se7en mahu kolaborasi dengan Bunkface. FOTO Genes Gulitah
KUMPULAN Se7en mahu kolaborasi dengan Bunkface. FOTO Genes Gulitah

"Selain Menuju Cahaya, kami juga menyampaikan beberapa lagu seperti Emosi, Qalam, Genggam Waktu, Waktu Dalam Waktu, Sahabat dan Realiti Anganku pada showcase berkenaan," katanya.

Mengenai Single Cahaya lagi, kata Boy, ia juga lagu genre ketuhanan.

"Sebenarnya, kami muncul dengan single demi single dan setakat ini sudah ada lapan lagu yang bakal dimuatkan dalam sebuah album.

"Semua lagu adalah ciptaan kami sendiri dan kebanyakan lagu adalah mengenai ketuhanan," katanya.

Mengulas perancangan selepas ini, kata Boy, mereka juga mahu berkolaborasi dengan kumpulan popular Bunkface selepas ini.

"Muzik kami juga ada persamaan dan banyak dipengaruhi kumpulan itu.

"Kami berharap dapat buat 'featuring' dalam konsert atau showcase Bunkface pula nanti," katanya.

Selepas Kuala Lumpur, kata Boy, mereka juga merancang mengadakan persembahan di Pulau Bali, Indonesia.

"Banyak perancangan dibuat untuk memperkenalkan lagi kumpulan ini pada peminat termasuk di luar Singapura.

"Lagu kami juga mendapat sambutan dan diputarkan di stesen radio di Singapura sebab itu kami yakin untuk mengadakan showcase di luar negara seperti di Kuala Lumpur dan Pulau Bali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 6:13 AM