Arwah Hamid Gurkha
Arwah Hamid Gurkha
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kemelut isu tuntutan keluarga Allahyarham Hamid Gurkha terhadap Astro berjumlah RM10,000 akan berakhir dalam masa terdekat.

Berita gembira ini dimaklumkan oleh Ketua Saluran Astro Ria, Warna & Prima, Norzeha Mohd Salleh menerusi mesej WhatsApp kepada Harian Metro.

"Astro akan melunaskan pembayaran Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 yang dianugerahkan kepada arwah Hamid Gurkha.

"Pihak produksi AME sedang berurusan dengan keluarga Arwah untuk menyelesaikan isu ini secepat yang mungkin," katanya.

Pada masa sama, Norzeha memaklumkan pihaknya kesal atas kesulitan yang berlaku.

Terdahulu Harian Metro melaporkan keluhan keluarga pelawak legenda ini yang masih menanti wang kemenangan berjumlah RM10,000 dari Astro yang tertunggak sehingga sekarang.

Anak ketujuhnya, Nor Azian berkata, bapanya diberikan Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP AME2021 yang berlangsung pada 29 Mei tahun lalu dan menerima wang berjumlah RM10,000.

Selepas itu, mereka menunggu wang kemenangan yang belum lagi diberikan sehinggalah bapanya meninggal dunia pada 14 Jun 2022.

Keadaan ini sekali gus membuatkan mereka terlupa berkenaan duit terbabit yang belum diterima.

Apabila ibunya teringat perkara ini, mereka merujuk kepada Astro dan perlu menyediakan pelbagai dokumen sebagai bukti tuntutan.

Mereka yang bercadang menyerahkan wang ini sepenuhnya kepada ibu mereka sebagai tanda kasih sayang turut disaran menggunakan khidmat peguam, namun menolak kerana kos yang tinggi.

Jika sekiranya perlu menggunakan peguam, Azian berkata, mereka akan melupakan sahaja perkara ini.

Sementara itu, Azian berkata, dia menerima berita gembira ini daripada wakil produksi bernama Lala pada pagi ini.

"Katanya selepas pihak penerbit, bersama pengurusan dan legal berbincang, proses pembayaran diterima dan dia cuma perlu tunggu kemas kini daripada pihak kewangan mengenai tarikhnya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan pihak-pihak yang bersama-sama membantu menyelesaikan masalah kami sekeluarga. Terima kasih juga kepada pihak Astro yang prihatin," katanya.

Menurutnya, dia akan menyuruh adiknya yang tinggal bersama ibu mereka menyampaikan berita gembira ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 5:16 PM