LISA Blackpink. - FOTO Google
LISA Blackpink. - FOTO Google
HM Digital

ANNYEONGHASEYO!

Baru-baru ini, Lisa Blackpink serikan Instagram dengan hantaran siri foto terbaharunya berlatarkan pantai. Foto itu menonjolkan fizikalnya yang cukup menarik dan tidak terlepas daripada dibanjiri komen pujian.

Bagaimanapun, ia dicemari dengan komen yang penuh kedengkian daripada akaun NewJeans Global. Akaun peminat NewJeans itu antara yang terbesar dengan jumlah pengikut lebih 144,000.

Dalam komennya, akaun itu mengatakan Lisa kelihatan hodoh berserta emoji yang sangat negatif. Komen itu ditinggalkan pada hantaran yang dikongsikan portal berita Pop Crave menerusi Twitter.

Peminat Lisa menyedarinya sebelum beramai-ramai mempertahan penyanyi kesayangan mereka itu. Mereka mengutuk kebiadaban itu dan menuntut NewJeans Global membuat permohonan maaf rasmi.

Namun sebaliknya apabila akaun itu mengeruhkan lagi keadaan apabila memilih untuk menyekat pengguna media sosial yang menyokong Lisa. Kemudian disusuli dengan menaikkan tanda pagar 'Apologize To Lisa' sehingga sohor kini (trending).

Berdasarkan pendedahan mesej terdahulu daripada NewJeans Global dan komen terbaharu seakan-akan menyerang Lisa itu, beberapa stesen TV di Thailand turut mengutuk perbuatan sedemikian.

Rata-rata organisasi terbabit mengecam sekeras-kerasnya apa saja jenis buli siber yang ditujukan kepada Lisa. Khususnya daripada kelab peminat kumpulan naungan Hybe iaitu NewJeans yang semakin meledak.

Namun begitu, peminat NewJeans sebaliknya bukan meminta maaf. Bahkan, mereka mula menyerang negara asalnya, Thailand dengan komen negatif di pelbagai platform media sosial.

Situasi itu menjadikan kontroversi terbabit menjadi lebih tegang. Kelab peminat NewJeans juga sudah mula disisihkan daripada komuniti dalam talian global yang tertumpu kepada industri K-Pop.

Belum ada permohonan maaf, akaun NewJeans Global di Twitter sebaliknya dipadam terus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 6:48 AM