CL dan Suho EXO.
CL dan Suho EXO.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Artis K-Pop terkenal, Taeyang, CL, dan Suho EXO bakal menggegarkan Festival Borneo Sonic Music (BSMF) 2023 yang akan berlangsung pada 6 hingga 7 Oktober nanti di Stadium Sarawak, Kuching. 

Pengarah Urusan BME (International) Malaysia Sdn. Bhd, Steven Au selaku penganjur berkata dia yakin artis K-Pop mampu jadi tarikan penting acara yang mensasarkan lebih 30,000 pengunjung itu.

"BSMF ini akan menarik minat masyarakat luar. K-Pop bukan sekadar trend, ia mempunyai pengikut global yang besar dan tidak menunjukkan tanda-tanda fenomenanya akan surut.

"Malah anak saya sendiri menjadi peminat tegar NewJeans. Kali ini kami bukan membawa satu artis Korea saja namun empat terus," katanya.

Selain mereka bertiga, antara artis ternama lain yang bakal beraksi adalah Hyo dari Korea Selatan, Havana Brown (Australia), Fatman Scoop (Amerika Syarikat), penyanyi tempatan Ning Baizura, dan ramai lagi.

TAEYANG
TAEYANG

Festival itu diharapkan penganjur menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi selain dijadikan acara penting tahunan di Sarawak untuk tahun-tahun mendatang.

"Kekal teguh dengan kepelbagaian budaya dan masyarakat saling bertoleransi, Sarawak pastinya mampu dijadikan destinasi konsert terbaik di Malaysia," katanya.

Festival berkenaan turut dianjurkan bersama Skyline Entertainment dan Dream Factory Entertainment. Ia turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 4:08 PM