Aziz dan Puteri Lily bersama dua anak mereka. Foto dari Instagram Aziz M Osman
Aziz dan Puteri Lily bersama dua anak mereka. Foto dari Instagram Aziz M Osman
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Saya lihat mereka bercerai secara matang. Saya reda jodoh mereka sampai di sini. Saya tetap anggap Aziz sebagai anak dan ahli keluarga sendiri," kata bapa mentua Aziz M Osman, Lokman Ghani, 62.

Lokman yang juga pengarah teater berkata, dia sudah dimaklumkan lebih awal oleh anaknya, Puteri Lily dan Aziz bahawa mereka hendak bercerai pada awal Julai lalu.

"Aziz dan Lily ada berjumpa saya memaklumkan yang mereka dah buat keputusan mahu berpisah (cerai). Sebagai bapa, tentulah saya rasa sedih tetapi menghormati keputusan mereka dengan baik.

"Dulu pun ketika nak berkahwin, mereka yang pilih dan buat keputusan. Jadi, apabila mahu berpisah, mereka juga yang buat keputusan itu. Cuma, sampai sekarang saya masih tidak tahu apa punca sebenar yang membawa mereka hingga bercerai.

"Selama 13 tahun ini, saya melihat hubungan rumah tangga mereka baik-baik saja. Lily pun tak pernah mengadu atau bercerita kisah rumah tangganya pada saya. Jadi, saya fikir mereka bahagia sajalah," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Puteri Lily, 32, membuat perkongsian di Instagram Story memaklumkan dia dan Aziz, 60, yang juga pengarah dan pelakon popular sudah sah bercerai talak satu, awal bulan lalu.

Tujuan perkongsian hantaran itu dibuat kerana Puteri Lily mahu mengelak fitnah. Malah, anak sulungnya hasil perkongsian hidup dengan Aziz iaitu Puteri Nur Azzahra, 11, juga mengetahui dan menerima keputusan perpisahan itu.

Lokman berkata, dia reda dan menganggap jodoh anak keempat daripada lima beradik itu sudah ditetapkan Allah hanya bertahan selama 13 tahun saja.

Katanya, Aziz juga adalah menantu yang baik.

"Saya mohon doakan yang terbaik untuk mereka. Malah, dah sebulan pun Aziz dan Lily bercerai, saya lihat hubungan mereka tetap baik seperti biasa. Apapun, saya akan terus mendoakan kebahagiaan mereka," katanya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Aziz bagi mendapatkan kenyataannya berhubung perceraian itu tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Aziz dan Puteri Lily mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2010. Mereka dikurniakan dua anak, Puteri Nur Azzahra dan Putera Muhamad Aryan yang kini berusia lima tahun.

Pernikahan bersama Puteri Lily adalah yang keempat buat Aziz. Sebelum ini, Aziz mendirikan rumah tangga kali kedua dengan penerbit dan pelakon, Nor Aliah Lee dan dikurniakan enam anak.

Sebelum bernikah dengan Nor Aliah Lee, Aziz pernah berkahwin dan memiliki seorang anak perempuan daripada perkahwinan itu.

Aziz juga berkahwin kali ketiga dengan Nor Radhiah pada 16 Ogos 2008, namun dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu kerana wanita itu masih dalam tempoh edah ketika majlis pernikahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 1:56 PM