Zizan.
Zizan.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Jika tidak kerana penularan Covid-19, pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak, 39, sepatutnya sudah bergelar haji ketika ini.

Namun, disebabkan itu, dia yang sepatutnya menunaikan haji pada 2020 tidak dapat berbuat demikian.

Bagaimanapun, Zizan yang juga pelakon filem Polis Evo 3 reda dengan apa yang berlaku.

"Insya-Allah memang ada perancangan untuk ke sana. Sebenarnya kalau ikut kata-kata Rasulullah SAW, apabila dua kali pergi umrah, kali ketiganya kena pergi haji.

"Saya dah selesai buat dua umrah. Tinggal nak pergi haji saja tapi belum berkesempatan. Insya-Allah tahun depan saya dapat pergi. Kita sama-sama doakan.

"Sebenarnya itu jadi panduan buat saya sebab bila saya sampai sana sebelum ini, saya tengok orang bersungguh-sungguh buat ibadah termasuk ada yang berkerusi roda," katanya.

Baginya, orang yang masih muda dan tenaga masih kuat boleh menunaikan haji secepat mungkin tanpa perlu menunggu usia tua.

"Masa tengah kuat, tengah ada duit, tengah boleh cari duit, tolonglah pergi sana. Tolong pergi kerana kita tengah muda ini yang buat kita lagi bersemangat.

"Tengah muda ini kita sampai sana buat kali pertama, doa Allah makbulkan. Doa saja apa yang kita nak," katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai sambutan Aidiladha, Zizan berkata, bapanya, Abdul Razak kini berada di Makkah bagi menunaikan rukun Islam kelima ini buat kali pertama.

"Saya akan sambut Aidiladha dengan emak di Kuala Lumpur. Sambutannya mungkin ala kadar dan sederhana saja," katanya.

Dalam perkembangan lain, dia teruja apabila telefilem arahannya bersama Issey Fazlisham iaitu Heist Diladha akan menemui penonton, Khamis ini.

"Saya nak berterima kasih kepada peminat yang tonton Heist Dilfitri sebelum ini. Peminat yang buat ia jadi 'rating' nombor satu di Astro Demand.

"Saya pun tak sangka pihak Astro hubungi saya ajak buat Heist Diladha pula. Saya pun 'present' dan kali kedua lulus serta dalam jangkamasa yang pendek kita terus buat penggambaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 3:00 PM