Pelakon Korea, Kim Ye-Rim dan Lee Eun-Saem ketika sidang media drama bersiri Cheongdam International High School di Sunway Resort and Hotel. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Pelakon Korea, Kim Ye-Rim dan Lee Eun-Saem ketika sidang media drama bersiri Cheongdam International High School di Sunway Resort and Hotel. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Norhayati Nordin

 

Petaling Jaya: Dua pelakon wanita popular Korea Selatan iaitu Kim Ye Rim, 24 dan Lee Eun Saem, 24, bersedia untuk berlakon dengan syarikat produksi di negara ini sekiranya ada peluang walaupun berhadapan kekangan bahasa.

Mereka ditemui pada sidang media drama Cheongdam International High School di Sunway Resort Hotel, di sini, hari ini bersempena siri jelajah drama itu yang dibawakan oleh CJ ENM Hong Kong dan tvN Asia dengan kerjasama platform penstriman Tonton.

Ye Rim yang mesra disapa Yeri berkata, dia dan Eun Saem berasa teruja seandainya mereka meraih peluang untuk membintangi sebarang drama atau filem di negara ini suatu masa nanti.

"Saya semestinya menantikan peluang itu (berlakon) jika ada dan tidak teragak-agak untuk menerimanya kerana berminat ingin cuba pengalaman menjayakan penggambaran di Malaysia.

"Sudah tentu saya akan ambil jika berpeluang. Saya fikir mungkin ia tidak akan ditolak begitu saja," kata Yeri yang juga anggota kumpulan K-pop, Red Velvet.

Bagi Eun Saem yang kali pertama datang ke negara ini, dia juga mempunyai keinginan sama walaupun sedar masih tidak mampu bertutur atau memahami Bahasa Melayu dengan baik.

"Walaupun tidak fasih berbahasa Melayu, saya tetap sedia mencuba jika diberi peluang. Saya pun teringin menjalani penggambaran di Malaysia. 

"Tidak kisah sama ada filem atau drama, kalau ada peluang itu saya akan terima," katanya yang sempat meluangkan masa bertemu peminat bersama Ye Rim di Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Yeri dan Eun Saem yang ditemui Harian Metro pada sesi temubual diatur bersama mereka turut berkongsi mengenai drama Cheongdam International High School dibintangi itu serta beberapa aktiviti ramah mesra bersama peminat bertuah.

Dihasilkan sebanyak 10 episod, drama Cheongdam International High School mengisahkan mengenai Kim Hye-in lakonan Eun Saem iaitu satu-satunya saksi kepada pembunuhan seorang gadis di sebuah sekolah menengah.

Bagi menutup mulutnya, Kim Hye-in dipindahkan ke Cheongdam International High School dan bertemu Baek Jen-na (lakonanYeri) yang menjadi suspek utama kes itu dan juga individu berpengaruh di sekolah berkenaan.

Drama Cheongdam International High School mula ditayangkan di saluran tvN Asia pada 31 Mei lalu.

Kini berbaki dua episod, drama ini boleh juga boleh ditonton di saluran Tonton.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 10:43 PM