BLOODSHED bergabung dengan Hatta dalam persembahan mereka.
BLOODSHED bergabung dengan Hatta dalam persembahan mereka.
Ridzuan Abdul Rahman


SUKAR untuk menafikan kehebatan dua kumpulan rock popular era 1980-an, Bloodshed dan Junction yang diwakili penyanyinya, Hatta.

Mereka ternyata meninggalkan nostalgia yang mendalam kepada peminat.

Justeru, persembahan Bloodshed menampilkan Hatta sebagai penyanyi di Hat Yai Jam Judy ANF Pit Stop Route 407 Hat Yai, Thailand, baru-baru ini mendapat sambutan hebat peminat Malaysia dan positif daripada penonton tempatan.

Hatta yang juga penyanyi kumpulan Junction berkata, penonton dan pasaran hiburan Malaysia tidak begitu besar, ditambah dengan lambakan penganjuran konsert di Kuala Lumpur, menyebabkan bidang 'showbiz' tanah air akhirnya hilang kuasa membeli dan daya saing serta pasaran akan menjadi tepu.

"Inisiatif persembahan di Hat Yai memberikan ruang, peluang serta penerokaan untuk pasaran baharu. Ia juga dapat menjana ekonomi, mengembangkan serta memperkenalkan bakat dari Malaysia ke luar negara.

"Saya dan Bloodshed merakamkan ucapan ribuan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada AnF Asia Services yang menganjur serta menaja keseluruhan persembahan kami di Thailand.

"Tidak lupa juga terima kasih kepada individu seperti Abe Mat, Cikgu Joe Satun serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan Khoun Chuai Khoun (Orang Tolong Orang) yang berpangkalan di Hat Yai dalam menguruskan kelulusan permit persembahan, pelbagai sokongan dan bantuan keselamatan dari polis Hat Yai serta ahli Majlis Tempatan Hat Yai," katanya.

Selain Hatta, Bloodshed menampilkan Hamdan (gitar), Judy (keyboard), Said (bass) dan Zeck (dram). Pemuzik pengiring lain ialah Lan Santana, Lokman dan Linda.

"Kepercayaan dan sokongan, juga budi baik warga kerja persembahan dan majlis tahlil doa kesyukuran terutama kepada pemilik bersama AnF Asia Services, Mohd Fairuz Mohd Yusof serta Judy amat kami sanjung tinggi.

"Ia pengalaman pertama beraksi dan penganjur serta penaja AnF Asia Services kali pertama terbabit sebagai menyokong kesenian dan bakat artis tanah air.

"Mereka menghargai artis otai seperti Bloodshed dan Junction yang sudah lebih 35 tahun berkecimpung dalam memartabatkan seni muzik tanah air," katanya.

Selain itu, Judy juga adalah seorang daripada pemilik bersama AnF Asia Services dan ia membuka peluang kepada mereka untuk beraksi dalam persembahan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 6:55 AM