Georgie Joseph


Shah Alam: Pelakon Puteri Sarah, 37, tidak dapat hadir pada sebutan kes injuksi hari ini disebabkan kurang sihat dan mengalami sakit mata, manakala pengarah Syamsul Yusof, 39, berdepan kesibukan kerja.

Perkara itu dimaklumkan peguam Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader yang ditemui sebelum prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah, hari ini.

"Anak guam saya kurang sihat. Benar dia sakit mata. Hari ini adalah untuk kami failkan jawapan afidavit terhadap permohonan inter-parte mereka," katanya.

Sementara itu, peguam Syamsul iaitu Azmi Mohd Rais memaklumkan anak guamnya pula terikat dengan komitmen kerja menyebabkan dia gagal hadir pada prosiding hari ini.

Pada 25 Mei lalu, permohonan Syamsul melanjutkan perintah injunksi terhadap Puteri Sarah diluluskan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.

Terdahulu, mahkamah meluluskan permohonan Syamsul melanjutkan tempoh masa perintah ex-parte bertarikh 27 April berdasarkan Seksyen 238 Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dengan pindaan kepada perintah ex-parte terbabit.

Mahkamah antara lain memerintahkan Puteri Sarah dihalang, dilarang dan/atau ditegah bertindak mengeluarkan, memuat naik, menyiarkan, menulis, menerbitkan, menyebarkan, mengedarkan, menghebahkan, dan/atau menyalurkan apa-apa kenyataan, tulisan fitnah, maklumat, komen, gambar dan atau klip video di mana-mana laman media sosial, media cetak dan atau media elektronik.

Peguam mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir (kiri) dan peguam mewakili Syamsul Yusof, Azmi Mohd Rais selepas prosiding injunksi di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Peguam mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir (kiri) dan peguam mewakili Syamsul Yusof, Azmi Mohd Rais selepas prosiding injunksi di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 11:00 AM