Sidang media peguam dan wakil penggiat seni pada 13 September lalu
Sidang media peguam dan wakil penggiat seni pada 13 September lalu
Ridzuan Abdul Rahman


Shah Alam: Perjuangan 32 penggiat seni tanah air terdiri daripada penyanyi dan pemuzik terkenal untuk menuntut pembayaran royalti daripada Prism Berhad selaku badan berlesen yang mengutip royalti kini bermula.

Peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif dari Tetuan Kamaruzaman Arif & Sofiah yang mewakili mereka berkata, pendengaran kes akan dijalankan secara online di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Mei ini.

"Kami sudah mendapat pengesahan daripada mahkamah berkenaan pendengaran nanti. Semua dokumen yang diperlukan sudah disediakan selengkapnya.

"Artis-artis terbabit terutama Datuk Jamal teruja untuk hadir ke mahkamah semasa pendengaran ini berjalan, namun dimaklumkan bahawa pendengaran bakal dijalankan secara online sahaja," katanya ditemui pada majlis Rumah Terbuka anjurannya di Bukit Bandaraya di sini, semalam.

Penyanyi Datuk Jamal Abdillah, Datuk Malek Ridzuan, komposer Man Senoi dan penyanyi yang juga penyampai radio, A Razak Ismail antara yang hadir pada program ini.

Kamaruzaman berkata, pembabitannya dalam kes ini bertujuan membantu penggiat seni mendapatkan hak dan titik peluh mereka yang mencari rezeki menerusi bidang seni.

Pada 13 September 2022, 32 penggiat seni memfailkan satu notis usul berserta afidavit sokongan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia bagi memfailkan saman menuntut pembayaran royalti daripada Prism Berhad selaku badan berlesen yang mengutip royalti bagi tahun 2017 sehingga 2021.

Antara mereka yang menuntut hak ini ialah Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Malek Ridzuan, J. Sham, Aris Ariwatan, Zaha Spring Spring, Leina Hangat dan ramai lagi.

Tindakan ini julung kalinya dibuat oleh penggiat seni tanah air dan juga melambangkan penyatuan mereka di dalam menuntut hak di bawah Akta Hakcipta 1987.

Kamaruzaman ketika itu berkata, di bawah Seksyen 3 Akta Hakcipta 1987, penggiat-penggiat seni ini dikategorikan sebagai pelaku yang layak untuk menuntut hak royalti terhadap persembahan muzik seni mereka berdasarkan perundangan.

"Artikel 3.2, Bab 6 Perlembagaan Prism Berhad menyebut bayaran royalti Pelaku hendaklah diagihkan sekali setahun.

"Namun, sejak 2017 sehingga 2021, tiada sebarang bayaran royalti dibuat kepada artis sehingga kini walaupun sudah dituntut.

"Hanya selepas penggiat seni memfailkan tindakan ini di mahkamah, barulah pembayaran royalti tahun 2018 mula dibayar kepada sebahagian ahli Prism yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 6:00 PM