FADH Majid, Razak A'ai dan Dina Nasz pada sidang media Trend Raya oleh Todak di Kotak Hitam, Setia Alam. FOTO Hazreen Mohamad
FADH Majid, Razak A'ai dan Dina Nasz pada sidang media Trend Raya oleh Todak di Kotak Hitam, Setia Alam. FOTO Hazreen Mohamad
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Tiga artis Todak Music iaitu Fadh Majid, Razak A'ai dan Dina Nasz melahirkan perasaan teruja akan terbabit dengan program Trend Raya 2023 yang bakal berlangsung di Mid Valley Exhibition Centre, Kuala Lumpur bermula esok hingga Ahad ini.

Sebagai artis baru, mereka sememangnya menantikan peluang beraksi dalam program yang mampu menonjolkan nama mereka kepada masyarakat.

Dina Nasz, 20, berkata, dia mula terbabit dalam bidang seni semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 selepas menang pertandingan Open Stage Muzik Muzik 35.

"Tahun lalu saya tampil dengan single pertama berjudul Cita ciptaan pemilik Todak Music yang berkonsep 'catchy'. Lirik lagu ini penuh emosi.

"Sebelum ini saya hanya tampil pada majlis orang kahwin dan kemunculan di Trend Raya 2023 sesuatu yang berbeza kerana ia pengalaman pertama saya.

"Perasaan saya tentunya teruja dan gembira kerana ia platform terbaik untuk saya dikenali selepas ini. Namun saya bersyukur kerana sudah dikenali segelintir peminat sebelum ini," katanya.

Fad, 30, pula aktif dengan konsep Melayu asli serta klasik. Dia tampil dengan single Bukan Takdirku dan Tak Mungkin Mendua berkonsep balada R&B.

Selain itu, Fad yang pernah menyertai Big Stage juga aktif berlakon dan sudah membintangi satu filem, satu telefilem dan Supertele.

"Alhamdulillah... saya seronok dapat jumpa peminat menerusi program ini. Penganjurnya Todak Fusion juga salah satu cabang pengurusan syarikat Todak Music," katanya.

Bagi Razak, 28, pula, dia sudah mempunyai tiga single dengan Todak Music dan akan tampil dengan album tidak lama lagi.

"Single itu ialah Aku Setia, Radio dan Bukti Cintaku. Kesemuanya berbeza konsep satu sama lain. Sekarang saya sibuk dengan rakaman album solo.

"Alhamdulillah... ada ramai peminat yang tanya saya untuk beraksi dan inilah peluang mereka bertemu saya," katanya.

Program anjuran Todak Fusion Sdn. Bhd. ini turut mendapat sokongan daripada badan kebajikan Afiz Ayub Foundation, Sugar Bomb HQ, Pusat Pungutan Zakat (MAIWP), AEON (M) CO Bhd, Todak Bigo Agency dan Kentang Hijau Production sebagai rakan strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif, Todak Fusion Sdn Bhd. Mohd Ikmal Fareeq berkata, Trend Raya 2023 menyatukan peniaga dari pelbagai produk di dalam satu acara yang seakan 'indoorbazaar' yang berkonsepkan 'trendy'.

"Ia menyediakan pelbagai produk berciri 'trendy' dengan mengumpulkan peniaga di Malaysia di bawah satu bumbung.

"Pelbagai jenama terkenal, terbaru dan viral akan turut bersama dalam acara ini. Ada beberapa acara selingan menarik seperti cabutan bertuah, persembahan artis secara langsung dan pemberian hadiah menarik.

"Ada promosi istimewa dari peniaga, juga dengan penampilan beberapa ikon selebriti tempatan dan pempengaruh. Masuk adalah percuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 4:07 PM