SYAMSUL Yusof (kiri) dan Aaron Aziz. FOTO Amirudin Sahib & Arkib NSTP
SYAMSUL Yusof (kiri) dan Aaron Aziz. FOTO Amirudin Sahib & Arkib NSTP
Najiy Jefri

Gombak: "Saya tak mahu gaduh," tegas pengarah The Original Gangster, Syamsul Yusof berhubung pengguguran nama pelakon Datuk Aaron Aziz daripada terbabit dalam filem itu.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, berkata, dia enggan memperbesarkan isu dalaman yang berlaku walaupun boleh berkongsi punca sebenar.

"Macam-macam saya boleh cakap fasal perkara itu. Saya pun pernah melalui fasa yang lantang bercakap di media sosial. Boleh sahaja saya nak jawab tapi nanti berbalik kepada saya semula.

"Jadi saya malas nak bergaduh dan saya tak nak bergaduh," katanya.

Ditanya adakah dia bersedia bertentang empat mata dengan Aaron untuk menyelesaikan konflik yang berlaku, Syamsul bagaimanapun memilih untuk tidak bercakap mengenai perkara itu.

"Saya ini boleh dikata antara individu yang sedang melalui fasa ujian. Bila diuji baru kita nampak siapa orang yang sebenarnya dengki serta bukan sahabat sebenar.

"Begitu juga dengan individu yang benar-benar sahabat sejati. Jadi berkenaan Aaron saya malaslah. Pihak saya tahu hal sebenar.

"Tiba-tiba sahaja dia keluarkan kenyataan begitu. Apa sebenarnya yang dia mahukan?. Apa yang boleh saya kata kita cuba dapatkan tawaran daripada hasil kerja kita. Buktikan hasil kerja dengan kudrat yang Allah beri ini. Jangan cari benda-benda ini sebab nama dah jatuh dan apa perlu dibuat. Jangan buat begitu," katanya.

Terdahulu Aaron dalam temu bual bersama media memberitahu namanya dibuang dari senarai pelakon The Original Gangster meskipun sudah menerima skrip dan menjalani sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 1:02 PM