LISDAWATI.
LISDAWATI.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon, Lisdawati pernah berdepan dengan insiden cemas apabila terjatuh ketika menunggang kuda sehingga terseliuh dan sukar untuk mengangkat badannya.

Lisdawati berkata, insiden dan kemalangan berlaku sekelip mata tanpa dijangka adalah sesuatu yang lumrah ketika melakukan penggambaran.

"Dalam penggambaran memang akan berlaku perkara yang tidak sangka. Saya pun pernah jatuh kuda sewaktu penggambaran. Nak angkat badan pun tak boleh sebab dah terseliuh.

"Bila cakap dengan penerbit, mereka kata tak ada bajet untuk itu. Dari situ saya belajar satu perkara, kalau bukan kita sendiri yang jaga diri kita, takkan ada siapa yang nak jaga kita," katanya.

Lisdawati berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran Kafe Boi Boi di Jalan Imbi, di sini.

Mengulas lanjut mengenai situasi yang dihadapinya itu, Lisdawati tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya menasihatkan agar pelakon di Malaysia untuk membuat persediaan sendiri.

"Kita dah cuba berhati-hati, kita cuba untuk mengelak daripada sebarang kecederaan berlaku sewaktu penggambaran.

"Tetapi kalau memang sudah ditakdirkan nak berlaku kemalangan, mungkin ada hikmahnya. Perkara ini tidak akan habis kalau kita saling menyalahkan.

"Jadi, saya nasihatkan kepada semua pelakon buatlah caruman di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Tak mahal pun setahun dalam RM300 lebih. Ini nasihat saya terutamanya kepada pelakon baharu. Perkara-perkara ini yang akan bantu kita pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Fauzi Nawawi mendedahkan dia pernah mengalami kecederaan di kepala sehingga menerima dua jahitan ketika menjalani penggambaran filem Anak Halal.

Menurut Fauzi, kecederaan itu juga memberi pengajaran untuk dia lebih berhati-hati kerana melakonkan babak aksi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 4:11 PM