DATUK Fizz Fairuz
DATUK Fizz Fairuz
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Datuk Fizz Fairuz menasihatkan rakan pelakon lain supaya tidak berlebih-lebihan ketika menjayakan sesuatu babak susulan insiden kecederaan yang menimpa Fasha Sandha ketika menjayakan satu babak sehingga dikejarkan ke hospital, semalam.

Fizz berkata, setiap babak berisiko perlu dirancang bagi mengelakkan sebarang kecelakaan berlaku ketika di set penggambaran. 

"Apabila berlakon kita kena saling beringat. Tak perlu nak beria-ia sangat. Tiada masalah untuk melakukan babak berisiko, tapi biarlah ada persediaan dan asas lakonan. 

"Saya faham keadaan seperti ini tak boleh nak elak, tapi boleh dirancang lebih awal. Tak perlu nak nampak realistik, lebih-lebih lagi babak baling, sepak dan terajang. Semua itu ada cara untuk dijayakan.

"Bagi saya tak perlu terlalu 'overacting' sebab akan membabitkan orang lain. 

Kalau ada duit, bolehlah dapatkan rawatan tapi kalau terjadi kepada pelakon yang tidak berkemampuan macam mana? ," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fizz, dia juga ingin mengingatkan setiap pengiat seni agar berhati-hati dalam melakonkan aksi berisiko kerana terdapat syarikat produksi yang tidak menyediakan pelan perlindungan. 

"Kerjaya sebagai anak seni boleh dikatakan bahaya. Tambah pula, kita ini kerja sendiri.

Jadi sepatutnya kena ada pelan perlindungan.  Sebelum ini saya dengar ada ura-ura pihak berkaitan nak laksanakan tapi sehingga sekarang tiada khabar berita. 

"Kenapa saya tekankan benda ini di laman sosial, kerana tidak mahu insiden yang lebih teruk berlaku membabitkan pelakon. 

"Lagipun ada syarikat produksi yang tidak menyediakan insurans melainkan kalau filem mungkin ada disediakan. Tapi kalau drama, setahu saya  tiada… mati katak saja lah," katanya.

Terdahulu Fasha terpaksa menahan kesakitan selepas mengalami kecederaan di bahagian mata kirinya akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran drama berjudul Anak Tuan di Johor Bahru, Johor, semalam.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di  akaun Instagramnya oleh pihak pengurusan, tulang mata kirinya patah selain bebola mata bengkak selepas terhentak di bucu katil yang tajam ketika menjayakan babak bersama pelakon Azhan Rani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 3:03 PM