Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada hari pertama beliau bertugas sebagai deejay HotFM di HotFM studios, Seri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya. FOTO ASWADI ALIAS
Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada hari pertama beliau bertugas sebagai deejay HotFM di HotFM studios, Seri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya. FOTO ASWADI ALIAS
Norhayati Nordin


Petaling Jaya : Hari pertama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, 47, muncul sebagai penyampai radio Hot FM dalam segmen Bekpes Hot dari jam 6 pagi sehingga jam 10 pagi hari ini bersama AG dan Johan dirasakan cukup pantas berlalu oleh pendengar.

Tempoh empat jam bersiaran Khairy atau mesra dengan sapaan KJ bagi tempoh percubaannya itu dirasakan kebanyakan pendengar seperti 'tidak cukup' mendengar suara bekas tokoh politik itu berkumandang di radio.

Malah, kebanyakan pendengar mahu KJ bersiaran dalam segmen Bekpes Hot setiap hari.

Namun, bagi sesi pengenalan KJ hari ini memang berjaya berikutan ruangan 'chat' di saluran YouTube Hot FM saja mencecah 10,000 komen.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran berkata, sambutan sangat baik daripada pendengar terhadap kemunculan KJ di konti menyebabkan saluran 'streaming' Hot FM mengalami gangguan seketika.

"Syukur sambutan diterima sangat baik sehingga 'streaming' kami mengalami gangguan seketika. Alhamdulillah KJ pun sangat 'sporting' dan boleh 'blend in' (sebati) dengan Johan dan AG. Ia membuatkan mereka senang untuk berinteraksi dan dengar sangat bersahaja," katanya.

Ditanya juga mengenai permintaan pendengar yang ingin melihat KJ di konti sebagai penyampai radio secara 'live' di YouTube, Nazri berkata, buat masa ini beliau masih dalam percubaan, termasuk ada perbincangan yang perlu dibuat lagi.

"Buat masa ini kami hanya fokus untuk ke udara (di radio). Insya-Allah kami akan cuba usahakan untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada pendengar kami," katanya.

Nazri berkata, orang ramai juga boleh saksikan video yang disunting di platform media sosial Hot FM iaitu Instagram, twitter hotfm976, tiktok hotfm976_, facebook Hot FM dan YouTube Hot.

Kemunculan KJ hari ini nyata menarik perhatian ramai, apatah lagi topik dibincangkan lebih menjurus mengenai keperibadian KJ yang pernah menjadi Menteri Belia & Sukan, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi dan Menteri Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 12:57 PM