Stephen Rahman bersama bayi kembar lelakinya.
Stephen Rahman bersama bayi kembar lelakinya.
Ramlah Zainal


 

Kuala Lumpur : Pelakon dan penyanyi Stephen Rahman, 53, dan isteri, penari dan koreografer, Anjali Mehra berkongsi berita gembira mengenai kelahiran sepasang bayi kembar lelaki mereka  hari ini.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, pelakon yang dikenali menerusi watak Hang Tuah dalam Pementasan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang itu memberitahu dirinya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat berada di sisi isterinya ketika melahirkan bayi kembar mereka itu.

"Berita penting, hidup saya mengalami perubahan hari ini.

"Saya berasa hairan dan sebak bila melihat isteri saya melahirkan anak sekali lagi. Kali ini dua bayi kembar lelaki," tulisnya.

 Pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris yang juga dikenali dalam filem epik Hikayat Merong Mahawangsa itu juga memuat naik beberapa keping gambar dan klip video dirinya dan isteri memangku bayi kembar mereka yang diberi nama Sonny Rain dan Remy Jude.

"Kami sangat gembira dengan proses kelahiran bayi kembar lelaki ini yang lebih lancar dari sebelum ini. 

"Pasti ramai yang masih ingat kesukaran Anjali ketika melahirkan Aphra, kira-kira 18 bulan lalu.

"Ramai yang memberitahu ini kebahagiaan berganda tetapi kami pula mengharapkan masa berharga bersama tiga 'malaikat kecil' kami ini kerana kami sudah menunggu sekian lama untuk mendapat anak,"tulisnya lagi.

Pada masa sama, Stephen juga meluahkan kesyukuran dan penghargaan kepada pihak hospital yang menjaga isteri dan dua anak kembarnya sepanjang proses kelahiran terbabit.

Stephen berkahwin dengan Anjali di Tuscany, Itali pada 2010.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak pertama yang juga perempuan Aphra pada 2021.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 12:20 PM