Pemain gitar legenda, Jeff Beck meninggal dunia.
Pemain gitar legenda, Jeff Beck meninggal dunia.
Agensi

New York : Pemain gitar legenda, Jeff Beck meninggal dunia pada usia 78 tahun, semalam.

Beck yang juga pemenang lapan Anugerah Grammy meninggal dunia akibat bakteria meningitis.

"Bagi pihak keluarga, dengan rasa penuh rasa dukacita yang mendalam, kami berkongsi berita pemergian Jeff Beck. Mendiang meninggal dunia dengan aman semalam selepas dijangkiti bakteria meningitis.

"Pihak keluarga memohon agar diberikan ruang privasi ketika mereka menerima perkhabaran duka ini," tulis kenyataan itu menerusi laman web Jeff Beck.

Berita pemergian Beck segera mendapat maklum balas penggiat industri muzik seluruh dunia antaranya Ozzy Osbourne yang pernah bekerjasama dengan Beck dan penyanyi Kiss, Gene Simmons yang menyifatkan pemergian Beck cukup menyedihkan.

"Tiada siapa bermain gitar seperti Jeff," tulis Simmons di Twitter.

Pemain gitar Led Zeppelin, Jimmy Page menerusi Instagram menggelar Beck sebagai 'pahlawan enam tali'.

"Teknik permainannya unik. Imaginasinya tidak ada had. Saya bersama jutaan peminatmu akan merinduimu," katanya.

Beck yang mula mencipta kerjaya bersama kumpulan The Yardbirds pada 1960-an adalah antara pemain gitar legenda dunia seiring dengan Jimmy Page dan Eric Clapton.

Sebelum menyertai The Yardbirds pada 1965, Beck sudah berpengalaman dalam rakaman muzik rock. Mendiang menyertai kumpulan itu menggantikan Eric Clapton.

Pada 1966, dia berganding dengan Jimmy Page dalam The Yardbirds sebelum Page menubuhkan Led Zeppelin.

Setahun kemudian Beck menubuhkan Jeff Beck Group yang turut dianggotai Rod Stewart dan Ronnie Wood (The Rolling Stones).

Nama Beck dimasyhurkan dalam Rock and Roll Hall of Fame pada 1992 sebagai anggota The Yardbirds dan sekali lagi pada 2009 sebagai artis solo.

Pada 2015, majalah Rolling Stone meletakkan Beck di kedudukan kelima dalam senarai 100 pemain gitar terhebat sepanjang zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 11:32 AM