Sejak 50 tahun lalu, United Kingdom (UK) banyak melahirkan legenda dan genius dalam industri muzik dunia.

Bermula dengan The Beatles, The Rolling Stones, Eric Clapton, Sir Elton John, Pink Floyd, Black Sabbath, Led Zeppelin hinggalah kepada The Police, George Michael, Iron Maiden, Oasis, Radiohead, Amy Winehouse dan banyak lagi.

Dalam era kini, penyanyi dan komposer yang dilahirkan di Halifax, West Yorkshire, England iaitu Ed Sheeran antara yang bakal disenaraikan dalam legenda muzik UK.

Bagi sesetengah orang, Sheeran mungkin jawapan untuk Jason Mraz UK, tetapi dia sebenarnya lebih daripada Mraz dari segi kreativiti muzik dan nyanyian.

Apa yang pasti, Sheeran memiliki sentuhan tersendiri dalam menggabungkan muzik pop akustik, folk dan hip hop.

Susunan lagu sesetengah muziknya ringkas, tetapi cara Sheeran mempersembahkannya membuatkan lagu itu kelihatan 'besar'.

Sheeran juga mampu melakukan 'rapping' dengan baik terutama dalam lagu walaupun hanya diiringi gitar akustik dan bass.

Ini termasuk lagu The Man apabila dia menyampaikannya dengan cukup baik sekali.

Selain itu, Sheeran turut bekerjasama dengan Pharrell Williams dalam lagu Sing. Jadi, tidak hairanlah ia memiliki lenggok seperti lagu popular Pharrell iaitu Happy.

Boleh dikatakan semua lagu dalam album kedua Sheeran ini seronok didengar. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia album yang wajib dimiliki bagi semua pencinta muzik.

Album ini juga diangkat sebagai album paling laris di UK buat masa ini serta menakluki Carta Album UK dan Billboard 200 di Amerika Syarikat.

Selain itu, ia juga menjadikan Sheeran artis paling laris iTunes di UK, Ireland dan New Zealand.

INFO:

ARTIS: Ed Sheeran

ALBUM: X

TERBITAN/EDARAN: Atlantic/Warner Music

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:00 AM