Kemeriahan  bendera beberapa parti pada kempen PRU-15. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kemeriahan bendera beberapa parti pada kempen PRU-15. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Kehangatan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin dirasai terutama di media sosial apabila berkumandang lagu-lagu berunsur patriotik yang mengajak orang ramai keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab.

Lagu Marilah Mengundi dendangan Mohd Hashim Shariff atau lebih dikenali sebagai Rocky Din, yang popular sekitar tahun 1978 masih lagi menjadi pilihan rakyat Malaysia sehingga ke hari ini apabila tibanya waktu PRU.

Selain itu, lagu Jom Mengundi nyanyian Shiha, Tomok, Ayu Damit dan Black turut diminati generasi muda walaupun lagu ciptaan Tomok manakala lirik oleh Datuk Mohd Ashraf Abdullah itu sudah dimainkan sejak sembilan tahun lalu.

Sementara itu, lagu yang dipopularkan kumpulan nasyid, Soutul Amal berjudul Bangkit Bertahan yang mengajak umat Islam untuk mempertahankan syariat Islam antara yang popular digunakan oleh pengguna TikTok.

Dalam masa sama, lagu Aduh Malaysia nyanyian penyanyi rap, Altimet turut terkenal di platform sama apabila lebih 3738 video menggunakan lagu terbabit.

Selain itu, lagu parti Barisan Nasional yang dipopularkan oleh Eddie Hamid lima tahun lalu masih mendapat perhatian pengguna media sosial.

Malah PRU ke-15 yang bakal dijalankan esok memiliki lagu baharu yang dinyanyikan oleh kumpulan Floor88, penyampai Era FM dan Namie berjudul Jom Undi.

Video muzik Jom Undi sudah ditonton lebih 21,000 di platform YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 3:20 PM