Norman bersama enam anaknya. Danish (kiri) dan Marissa (kanan). Foto Instagram Norman Hakim
Norman bersama enam anaknya. Danish (kiri) dan Marissa (kanan). Foto Instagram Norman Hakim
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan, Norman Hakim, 46, mendoakan terbaik buat rakan penggiat seninya yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini, di kawasan masing-masing.

Norman yang akan balik mengundi di Kuantan, Pahang berkata, dia hanya mampu mendoakan agar semuanya berjalan dengan baik di atas niat murni mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya doakan yang terbaik. Itu saja dapat saya ucapkan kepada rakan penggiat seni yang bertanding di PRU15, Sabtu ini. Malah, pembabitan penggiat seni dalam politik kerana mereka juga ada pengaruh.

"Cuma, dengan pengaruh itu mereka juga perlu ada sistem dalam kepimpinan yang nak diguna pakai untuk memperjuangkan sesuatu kawasan itu. Memang kena ada sistem," katanya ditemui pada majlis pelancaran dan perlantikan sebagai duta produk Ecolite.

Pada PRU15 kali ini ada beberapa penggiat seni menjadi calon bertanding di kawasan masing-masing iaitu Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Jurey Latiff Rosli, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Lando Zawawi dan Abdul Rani Kulop.

Mengulas pula pembabitan dua anaknya, Mohamed Danish Hakim, 19, dan Marissa Dania Hakim, 17, dalam bidang seni, Norman berkata, dia tidak pernah menghalang anak-anak mengikut jejak langkahnya.

"Saya sedia memberi mereka galakan kepada apa saja bidang diminati termasuk industri seni bagi mencari pengalaman, selain mendapat pendedahan mengenai realiti dunia hiburan.

"Biar mereka belajar dan timba pengalaman. Cuma, nasihat saya apabila sudah melangkah masuk, teruskan. Saya yakin jika disertakan minat dan kesungguhan, mereka dapat membina nama atas bakat sendiri. Itu yang saya nak dan Insya-Allah mereka boleh," katanya.

Norman berkata, Danish dan Marissa memang sudah dirisik penerbit untuk berlakon. Katanya, Danish juga pernah menyertai program Fit For Action yang disiarkan TV3, baru-baru ini.

Manakala Marissa, perancangan untuk dia juga sudah ada dalam bidang kecantikan, Tapi, biarlah dia (Marissa) selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Norman yang berkahwin dengan pelakon Memey Suhaiza pada 2011, memiliki tiga anak. Sebelum itu, dia pernah mendirikan rumah dengan pelakon dan penyanyi, Abby Abadi pada 2002 serta dikurniakan tiga anak. Namun, mereka bercerai pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 8:48 PM