JULIA Farhana Marin.
JULIA Farhana Marin.

Kuala Lumpur: "Kenapa bila dah dekat tarikh perkahwinan baru terjadi semua ni?'

Itu luahan pelakon, Julia Farhana Marin mengenai situasi yang melanda dirinya dan bakal suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum yang berdepan dengan pelbagai fitnah sehingga terpaksa membuat laporan polis atas tuduhan tidak berasas itu.

Walaupun tidak mendedahkan kepada siapa laporan itu dibuat, namun ia dipercayai dibuat terhadap pelakon, Lufya Omar yang juga bekas isteri Hafiz.

Julia menerusi Instagram berkata, membuat laporan polis kerana sahabat dan rakan kongsi perniagaannya diganggu dengan gambar-gambar dia di tempat awam berserta pelbagai fitnah.

"Fitnah besar (berbukti) bahawa saya melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang. Itu tujuan laporan polis dibuat," tulisnya.

Julia juga turut berkongsi kekecewaannya dengan situasi yang berlaku juga ingin menjelaskan segala persoalan serta fitnah yang timbul membabitkan namanya.

"Saya sangat kecewa dengan khabar angin yang bertebaran sebab saya adalah seorang yang menjaga privasi serta kehidupan peribadi saya. Namun, sejak muncul pelbagai versi cerita, saya perlu bersuara untuk mempertahankan hak saya," katanya.

Turut berkongsi kronologi panjang mengenai apa yang berlaku, Julia juga turut memuat naik tangkap layar mesej yang dihantarnya kepada individu itu, namun, menerima reaksi yang dilihat kurang matang.

"Berkali-kali bakal suami saya nasihatkan supaya jangan berhubung dengan dia tetapi saya degil. Saya respon sebab apa? Sebab nak hormati dia dan buka peluang untuknya berbincang dengan saya sekiranya diperlukan.

"Saya tak ada masalah kalau nak dibawa berbincang. Namun, saya dihina. Tunang saya terima fitnah dan hinaan mengenai saya. Namun, saya masih kata, tak apa. Mungkin dia salah faham. Sekarang, secara umum?

"Saya tak ada niat untuk terbabit dalam masalah ini. Saya terima masa lalu bakal suami saya. Niat saya mudah, saya nak berbaik tetapi dibalas sebegini. Saya adalah orang yang waras dan saya nak kembali kepada kehidupan peribadi saya," tulisnya.

Sementara itu, Hafiz turut berkongsi foto laporan polis sama di samping tangkap layar mesej yang terpapar nama bekas isterinya, Lufya Omar.

Menurut Hafiz, dia dan Julia akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk anaknya, Laana Haura.

"Saya dan bakal isteri, niat kami cuma nak cari jalan penyelesaian yang baik untuk Haura dan sudah cuba yang terbaik untuk berbincang dengannya (bukti ada), tetapi sudah ditolak malah dibalas dengan kata-kata yang kurang sopan dan juga fitnah.

"Jadi lebih profesional dan jangan babitkan orang yang tidak sepatutnya seperti keluarga saya dan juga bakal isteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 11:53 AM