Ayda Jebat
Ayda Jebat
Norhayati Nordin


Petaling Jaya: Pelakon dan penyanyi popular, Ayda Jebat, 30, mengakui dia masih lagi mengingati komen-komen berbaur penghinaan yang pernah diterimanya daripada juri ketika menyertai sebuah program realiti TV dulu.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata, hingga kini dia masih belum dapat melupakan komen-komen 'menghina' itu yang disifatkannya sebagai perkara tidak 'best' (baik) untuk dikenang oleh mereka yang pernah menjadi peserta.

"Saya cuba memberi penilaian sebaik mungkin kepada semua peserta Awesome Raja Lawak (ARL) dengan teliti mengikut apa yang sepatutnya mereka terima daripada hasil persembahan yang dibuat itu.

"Saya pernah berada di tempat mereka (peserta). Saya pernah ada di situ (dalam program realiti). Saya pernah rasa orang (juri) hina kita. Jadi, kita rasa, eh aku ingat sampai sekaranglah. Jadi, saya tak nak ia berlaku lagi.

"Kita nak 'knowledge' (pengetahuan), tapi kita tak nak benda yang boleh jatuhkan 'mood' kita dan kita ingat sampai sekarang. Macam saya, hingga kini masih mengingatinya dan rasa tak 'best'," katanya.

Terdahulu, Ayda ditemui pada acara kemuncak ARL selepas menjadi juri bersama pelakon berkaliber, Khir Rahman dan pelawak 'otai', Saiful Apek untuk program realiti yang mencungkil bakat pelawak itu.

Ayda berkata, kalau pun sekarang mereka (peserta) tak rasa, tapi bagi dirinya sendiri, dia tak nak ulang benda yang pernah berlaku dulu kepadanya.

Katanya, jika peserta itu layak dapat markah sebaiknya, mereka memang layak.

"Jadi, saya rasa macam awak 'deserve' (layak) untuk dapat, awak 'deserve'. Rasa macam tak, saya akan terus cakap tak kelakar. Tapi, tetap beralas dan abang Khir akan bantu beritahu, ini bahagian yang awak perlu 'touch up' (cantikkan).

"Kadang-kadang bila kita bincang sesama juri, saya akan minta pandangan juga macam mana nak komen yang sebaiknya supaya saya tidak terlepas cakap, apa kau buat ni?. Sebabnya, dalam persembahan itu, pasti ada sedikit potensi yang kita kena cakap juga pada peserta," katanya.

Menurut Ayda, baginya tugas dan tanggungjawab sebagai juri tidak mudah. Katanya, dia juga melihat kredibiliti dirinya untuk menjadi juri dan pasti kena terus belajar dan belajar lagi dengan rajin bertanya kepada juri lain agar tidak tersalah cakap serta peserta mendapat mesej disampaikan.

Pada kemuncak ARL itu, enam peserta terpilih berentap iaitu Soda, Se'eh, Mabo, Azhar, Sedare dan Manja bersaing merebut hadiah juara berupa wang tunai RM50,000 yang akhirnya dimenangi oleh kumpulan Soda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 2:46 PM