KONSERT yang berlangsung dua jam itu meriah dengan kehadiran 2,000 peminat di Zepp KL.
KONSERT yang berlangsung dua jam itu meriah dengan kehadiran 2,000 peminat di Zepp KL.
Najiy Jefri


Biarpun menghadapi masalah kesihatan, namun vokalis kumpulan Gigi, Armand Maulana tetap sedaya upaya menghiburkan peminat yang menghadiri konsert Gigi Nakal Di Kuala Lumpur di Zepp KL, Sabtu lalu.

Konsert berlangsung lebih dua jam itu memukau 2,000 peminat walaupun vokalis utama kumpulan terbabit berdepan masalah batuk yang teruk.

"Saya minta maaf kerana saya berada dalam keadaan yang tidak fit (sihat). Saya mengalami batuk yang parah sekali.

"Bagaimanapun, saya akan terus bertahan dan cuba berusaha memberikan persembahan yang terbaik dan saya juga tidak kisah jika ditulis nyanyian saya terganggu ini.

"Tidak mengapa kerana itu adalah tanggungjawab saya," kata Armand.

Biarpun beraksi dalam keadaan yang tidak selesa, namun vokalis berusia 51 tahun itu tetap mempamerkan aksi lincah demi tugas yang perlu diselesaikan.

"Saya ada 25 lagu yang bakal dinyanyikan malam ini, kebanyakan bernada tinggi. Doakan semoga saya berjaya," katanya.

Pada konsert yang dibuka dengan lagu popular Gigi iaitu Ooo...Oooo...Ooo, Terbang, KYK dan Damainya Cinta, Armand beberapa kali memohon maaf di atas apa yang berlaku.

"Semoga kalian maafkan saya. Kalian sudah bayar mahal untuk menyaksikan konsert ini. Saya berasa serba salah sangat," katanya.

Perjalanan konsert ada ketikanya sedikit suram, namun Armand sentiasa mencari jalan untuk meriahkan suasana dan memastikan konsert berlangsung dengan penuh meriah.

2,000 peminat terhibur walaupun vokalis utama berdepan masalah batuk teruk.
2,000 peminat terhibur walaupun vokalis utama berdepan masalah batuk teruk.

Malah, anggota lain seperti Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram) dilihat saling membantu Armand kerana kali terakhir kumpulan itu berada di Malaysia adalah sekitar sembilan tahun lalu.

Dewa juga sempat mengusik peminat apabila mengatakan pasti ada peminat yang pernah hadir ke konsert kumpulan itu sebelum ini sudah berkeluarga dan memiliki anak sekarang.

"Terima kasih masih ingat dengan Gigi. Mungkin pada 2013 waktu kami datang kalian masih muda, sekarang sudah bawa anak ke sini," katanya.

Antara lagu dipersembahkan Gigi termasuk Bisa Saja, Akhirnya, Setia Bersama, Pintu Sorga, Cinta Terakhir, Damainya Cinta, 11 Januari, Djomblo termasuk Nakal yang menjadi penutup tirai konsert.

Konsert yang dibawakan oleh Tanjak Global dengan kerjasama Yolo Malaysia itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian secara spontan vokalis kumpulan Coklat, Kikan.

Gigi memasuki pasaran Malaysia menerusi lagu Terbang yang menjadi siulan ramai pada 1999. Kedatangan Gigi seiring kumpulan popular Indonesia seperti Padi dan Sheila On 7.

ARMAND dan anggota Gigi sedaya upaya memberikan persembahan terbaik.
ARMAND dan anggota Gigi sedaya upaya memberikan persembahan terbaik.

Kali terakhir kumpulan ditubuhkan pada 1994 itu beraksi di Malaysia menerusi Konsert Eksklusif Bersama Gigi di Menara PGRM pada 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 6:40 AM