KONSERT ulang tahun ke-30 yang cukup bermakna. - FOTO Asyraf Hamzah
KONSERT ulang tahun ke-30 yang cukup bermakna. - FOTO Asyraf Hamzah
Georgie Joseph


Impian lebih 18,000 baladewa dan baladewi menonton anggota dan bekas anggota Dewa 19 bergabung tertunai pada konsert Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berlangsung selama dua hari, julung kalinya, band itu tampil dengan empat penyanyinya iaitu Ello, Virzha, Once Mekel dan Ari Lasso.

Ketua kumpulan dan pemain keyboard, Ahmad Dhani turut menyanyikan beberapa lagu selain menampilkan bekas pemain dram, Tyo Nugros.

Sangat jelas betapa bermaknanya 'reunion' terbabit baik anggota kumpulan itu sendiri mahupun peminat. Masa tiga jam konsert tidak terasa berlalu kerana peminat 'larut' menikmati persembahan mereka.

Merangkumkan perjalanan mereka selama 30 tahun dalam konsert itu, memang cukup indah dan menyentuh kisah Dewa 19. Biar berganti anggota, kumpulan itu tetap kekal berkuasa dan digilai sepanjang zaman.

Buktinya, lingkungan penonton yang hadir pada konsert itu terdiri daripada remaja hingga yang berusia. Peminat setia lama mereka masih tetap teguh menyokong dan meminati Dewa 19.

Bagi yang mengikuti kumpulan itu sejak awal penubuhannya, pasti lebih terasa dekat dan menyimpan nostalgia. Turut mempersembahkan lagu-lagu lama, mereka berjaya mencuit emosi ramai.

Menyanyikan 35 lagu, dinamik persembahan mereka nyata sangat luar biasa. Nyanyian padu setiap penyanyinya yang bersilih ganti menakluk pentas dapat dirasa sangat menusuk hati.

Dimulakan dengan penyanyi paling baharu, Ello dan Virzha, mereka berjaya membuat 'pemanasan' yang kemudian disambut penampilan bertenaga Once dan Ahmad Dhani.

Perbezaan tenaga peminat boleh dilihat ketika sesi diambil alih Once. Rata-rata lagu yang dinyanyikan lebih mesra dan paling diingati hampir semua penonton.

Begitu juga Ari tampil dengan pesona tersendiri. Kehadiran Ari amat dinantikan peminat lama Dewa 19 apabila dia menyanyikan lagu dari album terawal mereka.

Hakikatnya, setiap penyanyi memiliki pesona masing-masing, tapi yang jelas semua cemerlang menghibur. Bahkan Ahmad Dhani yang silih berganti bermain keyboard dan gitar pun sangat bertenaga.

Menurut Ahmad Dhani, itu hadiah yang mereka ingin berikan sebagai menghargai sokongan tidak putus peminat mereka sejak dulu.

"Senang sekali Dewa 19 dapat datang ke sini. Malam ini, kami tidak menyanyikan 30 lagu, sebaliknya hampir 40 lagu.

"Jadi, buat yang belum meminati Dewa 19, harap bersabar dan tunggu sehingga habis konsert ini kerana ia berbeza daripada konsert sebelum ini," katanya.

Semestinya konsert itu cukup bermakna buat Ahmad Dhani kerana tidak dapat berbuat demikian pada konsert terdahulu di sini pada 2019. Ketika itu dia menjalani hukuman di Penjara Cipinang, Jakarta Timur selama 18 bulan.

Pada konsert itu, ia terbahagi kepada tiga segmen yang mana Virzha dan Ello sebagai pembuka tirai bagai berpadu suara nyanyi lagu Restoe Boemi, I Want To Break Free dan Still I Am Sure We'll Love Again.

Kemudian, disambung pula oleh Once secara solo mendendangkan tujuh lagu yang cukup mesra di telinga peminat. Antaranya Roman Picisan, Arjuna, Lagu Cinta, Mistikus Cinta dan Dewi.

Kehebatan suara Once turut jadi bualan ramai pada konsert itu kerana nyanyiannya seperti 'telan kaset'.

Sebelum berganti pentas dengan Ari, Once sempat mengusik penonton bahawa dia takkan bagi Ari keluar ke pentas menghiburkan mereka jika penonton belum 'panas'.

DEWA 19 terus teguh legasinya dan masih berkuasa. - FOTO Asyraf Hamzah
DEWA 19 terus teguh legasinya dan masih berkuasa. - FOTO Asyraf Hamzah

Bagaimanapun, muncul saja kelibat Ari, sorakan penonton bergema memenuhi ruang menandakan betapa tidak sabarnya mereka melihat penyanyi itu beraksi.

Dia mempersembahkan lagu hit seperti Elang, Kangen, Kirana, Cukup Siti Nurbaya serta Cinta Kan Membawamu Kembali dengan penuh penjiwaan sehingga membuatkan penonton lebih tersentuh dengan nyanyiannya. Momen itu sangat intimasi bersama peminat.

Dianjurkan Icon Entertainment, mulanya konsert itu cuma diadakan sehari saja iaitu pada 10 September lalu. Bagaimanapun, tiket habis terjual dalam masa sejam sebaik dibuka.

Justeru, konsert itu ditambah sehari pada 9 September lalu bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat berkesempatan menonton acara terindah ulang tahun ke-30 Dewa 19 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 6:49 AM